6 April 2012- Tepat jam 5.00 petang semalam (5 April), sedikit demi sedikit lebih daripada 60 buah firma tempatan dan antarabangsa yang menyertai Career Fair 2012 keluar meninggalkan Kampus Kejuruteraan setelah dua hari berkampung di Dewan Utama bagi memasar dan mempromosi kehebatan masing-masing dalam usaha mendapatkan sebanyak mungkin calon-calon yang berpotensi.
Yang nyata, Career Fair 2012 telah pun melabuhkan tirainya, yang tinggal hanya harapan bagi yang mengharapkan. Walau apa pun, yang pasti diperolehi adalah pengalaman yang tidak ternilai yang digarap selama dua hari bersama-sama firma-firma ‘gergasi’ yang mendominasi ekonomi negara dan antarabangsa. Amat bertuah bagi mereka yang berjaya meluluskan diri dan ‘menjinakkan’ gergasi-gergasi tersebut terutamanya dalam senario ekonomi semasa yang menyaksikan keperitan yang amat sangat dalam menagih ‘secangkir’ harapan. Syabas dan Tahniah diucapkan kepada yang berjaya.
Kapada semua firma yang mengambil bahagian dalam Career Fair 2012, warga Kampus Kejuruteraan ucapkan terima kasih daun keladi...
Informasi oleh: Mokhtar Alfakari Anurbek Foto/Grafik: Sumber HEPP No. Siri: 10/2012