|

25 Mei 2012- “E-Plast- A New & Novel Edible Plastic For Food Packaging”, tajuk pembentangan yang disampaikan oleh Nor Fasihah Zaaba dari PPK Bahan & Sumber Mineral, USM telah berjaya ‘mencuri dan memukau' hati dan minda para juri untuk dinobatkan sebagai juara edisi 2012, Young Person’s Lecture Competition Malaysia yang telah diadakan pada 23 Mei yang lalu bertempat di Bilik Seminar, PPK Bahan & Sumber Mineral, Kampus Kejuruteraan.
Kemenangan tersebut bukan sahaja telah membolehkan Nor Fasihah, pelajar program Ijazah Tinggi Bahan & Sumber Mineral membawa pulang wang tunai RM800.00 dan sijil malahan yang lebih berprestij beliau akan mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa, Young’s Person World Lecture Competition di kota Landon, UK pada 2-5 Julai 2012.
Young Person’s Lecture Competition Malaysia merupakan salah satu aktiviti dalam bentuk pertandingan tahunan yang dianjurkan secara bersama oleh PPK Bahan & Sumber Mineral dengan Institute of Materials Malaysia dan Institute of Materials, Minerals & Mining (IOM3), yang antara lain objektifnya sepertimana yang dinyatakan oleh Encik Yip Foo Weng, Pengerusi IOM3 (cawangan Malaysia), dalam ucapan alu-aluannya adalah untuk mencungkil dan mengasah sebanyak mungkin bakat muda di kalangan pelajar, pensyarah, penyelidik, saintis, jurutera malah individu yang berminat dalam membina kemahiran penyampaian mereka di hadapan khalayak ramai.

Untuk edisi 2012, seramai empat finalis telah berjaya ke peringkat akhir iaitu selain daripada Nor Fasihah, terdapat dua lagi peserta dari Universiti Malaya yang telah berjaya meraih tempat kedua dan ketiga iaitu Chong Su Kong, tempat kedua melalui tajuk syarahan “Synthesis of Indium-Catalyzed Silicon Nanowires Using Hot-Wire Chemical Vapor Deposition” dan tempat ketiga, Syed Muhammad Hafiz Syed Mohd Jaafar dengan tajuk “Reduction of Graphene Oxide Towards Graphine Thin Film”. Manakala seorang lagi peserta dari USM, Goh Theng Tyng yang membuat pembentangan di bawah tajuk “ Introduction to Material Science & Engineering”, sekadar mampu meraih hadiah sagu hati. Pertandingan kali ini memperlihatkan setiap perseta diadili menerusi lima kemahiran iaitu Konteks, Syarahan, Bantuan Visual, Kesimpulan dan Kebijaksanaan menjawab soalan daripada panel juri. Panel juri terdiri daripada Puan Suzila Mohd Shukor selaku ketua, Encik Yip Foo Weng dan Dr. Nurulakmal Mohd Sharif.

Di akhir pertandingan, Encik Yip Foo Weng telah menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.
Kepada Nor Fasihah Zaaba, warga Kampus Kejuruteraan mengucapkan ‘Tahniah dan Syabas’ dan menaruh penuh keyakinan bahawa kejayaan yang diukir di USM akan menyemarakkan semangat dan sudah pastinya ia akan berulang sekali lagi di Kota London.
Informasi oleh: Mokhtar Alfakari Anurbek & Azwan Affendy Ahmad Zahidi Foto: Shafizan Zoolkiffli
No. Siri: 19/2012 |