|
13 Jun 2012 - Firma ‘gergasi’ dunia yang terkenal dengan aktiviti membekalkan perkhidmatan dan perundingan dalam Pengurusan Projek sehinggalah ke Multidisiplin Kejuruteraan, Ranhill WorleyParsons telah mengadakan perbincangan ‘dari hati ke hati’ dengan Kampus Kejuruteraan pagi semalam. Kunjungan tiga pengurus Ranhill WorleyParsons yang diketuai oleh Encik Mike Martin, selaku Pengurus Kejuruteraannya, telah banyak memberikan informasi mengenai aktiviti dan modus operandi Ranhill WorleyParsons dalam usaha membuka ‘ruang’ mendapatkan bakal siswazah atau siswazah kejuruteraan untuk membina kerjaya dalam firma mereka.
Menurut Encik Mike Martin, menerusi ‘Graduate Development Program’ yang mereka sediakan, ramai siswazah-siswazah kejuruteraan yang berpotensi telah berjaya dilatih dan membina kerjaya dalam industri-industri besar seperti gas & minyak dan juga industri yang melibatkan ‘Refinery, ‘Chemical dan Petro-chemical’. Tambah beliau lagi, “Atas perkembangan senario semasa, kami sedang berusaha untuk mendapatkan pelajar kejuruteraan, USM yang berpotensi untuk membangunkan kerjaya dengan kami dalam pelbagai disiplin kejuruteraan menerusi projek mega yang berfokuskan ‘Infrastructure & Environment, Power, Hydrocarbons dan Minerals & Metal”.

Beliau dalam pembentangannya turut mengupas secara terperinci mengenai Ranhill WorleyParsons terutamanya daripada aspek modus operandi, proses kerja yang sebahagian besarnya menggunakan perisian terkini dan informasi mengenai senario pasaran global kini yang memerlukan jumlah jurutera profesional yang ramai dari sekecil-kecil skop ‘trouble-shooting exercises’ sehinggalah ke ’construction’ kejuruteraan sepenuhnya.
Selain membincangkan isu berhubungan dengan’ penawaran dan permintaan’ terhadap keperluan bakal siswazah atau siswazah kejuruteraan, isu berkaitan dengan penempatan pelajar menjalani Latihan Industri di Ranhill WorleyParsons turut dibincangkan dengan panjang lebar.

Profesor Abd Aziz Tajuddin, Pengarah, Kampus Kejuruteraan di akhir perbincangan merumuskan bahawa sebelum ini tidak banyak maklumat yang diketahui mengenai operasional Ranhill WorleyParsons dan bagaimana ia dapat membantu pihak Universiti amnya dan para pelajar khasnya dalam membina kerjaya mereka. Atas dasar itu, beliau menyarankan agar perbincangan susulan perlu diadakan dalam masa terdekat terutama berkaitan dengan penempatan pelajar untuk menjalani Latihan Industri di Ranhill WorleyParsons. Beliau juga menjemput Encik Mike Martin memberikan syarahan kepada staf akademik dan juga pelajar sebagai satu pendedahan kepada mereka mengenai senario ‘global enterprise’ dan turut mempelawa Ranhill WorleyParsons untuk menyertai aktiviti Universiti seperti ‘Career Fair’ .
Kunjungan delegasi firma yang mendominasi 44 buah negara di dunia dengan kapasiti staf seramai lebih dari 37 ribu itu, di akhiri dengan pemberian cenderamata dan jamuan makan tengah hari.
Informasi: Mokhtar Alfakari Anurbek Foto: Shafizan Zoolkiffli
No. Siri: 22/2012
|