|

27 Jun 2012 - Empat buah sekolah rendah dan satu Pusat Aktiviti Kanak-kanak dari Utara Perak sehingga ke Baling, Kedah telah menerima sumbangan komputer terpakai dari Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia. Setiap sekolah menerima sebanyak 10 buah komputer yang disampaikan oleh Profesor Abd Aziz Tajuddin, Pengarah Kampus Kejuruteraan dalam suatu Majlis Serahan yang telah diadakan pagi ini di Bilik Mesyuarat, Pejabat Pengarah.
Menurut Profesor Abd Aziz Tajuddin, Pengarah Kampus Kejuruteraan, sumbangan komputer ini merupakan kali kedua diadakan bagi tahun 2012. Pada bulan April yang lalu, sebanyak 32 buah komputer telah disumbangkan ke sekolah dan surau sekitar Parit Buntar dan Nibong Tebal.
“Sumbangan ini merupakan salah satu aktiviti Kampus Kejuruteraan ‘mendekatkan diri’ dengan komuniti setempat” ujur beliau dalam memulakan ucapan alu-aluan dan penghargaannya kepada Guru Besar dan Penolong Kanan sekolah-sekolah yang hadir. “Kita mahu memastikan semua golongan masyarakat terutamanya golongan ‘teramai dan terkebawah’ yang kami kenali sebagai ‘bottom billion’ dapat merasakan kemanfaatan dengan adanya USM disini” tambah beliau dengan memberikan beberapa contoh program kemasyarakatan dan insaniah yang telah dijalankan oleh Kampus Kejuruteraan. Di antaranya yang melibatkan Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) melalui progam “See IT, Feel IT , Do IT” iaitu satu kem perhimpunan berteraskan ‘celik komputer’ di kalangan para pelajar sekolah.
Beliau mengharapkan sumbangan komputer terpakai tersebut sedikit sebanyak dapat membantu pihak sekolah setidak-tidaknya menambah bilangan komputer yang sedia ada disamping untuk kegunaan di bilik-bilik sumber untuk kemudahan murid-murid membuat rujukan atau mengakses maklumat. “Kita mahu membudayakan komuniti dengan komputer, walaupun kita menyedari bahawa penggunaan komputer bukan perkara asing lagi dalam masyarakat kita” ujur beliau mengakhiri ucapannya.
Sebelum itu, beliau juga turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Ketua Pegawai Teknologi Maklumat, PPKT, Encik Fadzil Saidin yang telah berusaha untuk menyediakan 50 buah komputer terpakai di bawah seliaannya bagi diagihkan kepada pihak sekolah dan Pusat Aktiviti Kanak-kanak tersebut.
Encik Fadzil dalam ucapan balasnya pula menyatakan kesediaan pihak PPKT menawarkan kursus atau bengkel komputer kepada penyelia-penyelia makmal komputer dan membuka ruang kepada para pelajar agar melibatkan diri dengan program-program komputeran yang dianjurkan oleh PPKT dari masa ke semasa.

Senarai sekolah yang menerima sumbangan komputer terpakai pada majlis tersebut adalah:- SK Permatang Pasir, Pulau Pinang SK Sungai Tinggi, Trong, Perak SK Parit Tok Ngah, Parit Buntar, Perak SK Kampong Bandar, Baling, Kedah Dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak, Taman Serai Permai, Bagan Serai, Perak.
Informasi oleh: Mokhtar Alfakari Anurbek Foto: Shafizan Zoolkiffli No. Siri: 23/2012 |