|

23 Julai 2012- Ramadhan Al-Mubarak berkunjung lagi. Warga Kampus Kejuruteraan telah diseru agar menggunakan sepenuhnya kedatangan Ramadhan kali ini untuk menambah dan meningkatkan lagi kualiti dan kuantiti ‘saham akhirat’. “Ramadhan umpama ‘mega special’ yang ditawarkan setahun sekali. Jika tidak direbut dan disantuni dengan bersungguh-sungguh, ia akan berlalu pergi begitu sahaja dan meninggalkan impak kerugian yang amat besar kepada kita”. Demikian ujur Profesor Abd. Aziz Tajuddin, Pengarah Kampus Kejuruteraan dalam ucapan perasmiannya bersempena dengan Majlis Sambutan Hilal Ramadhan Al-Mubarak 1433 Hijrah, peringkat Kampus Kejuruteraan pada 19 Julai yang lalu bertempat di Dewan Auditorium, Kampus Kejuruteraan, USM.

“Ramadhan menggalas disiplin melalui didikan dan bimbingan fizikal, minda dan rohani yang berimpak tinggi”, tambah beliau. Selain menahan lapar dan dahaga, ia bagaikan ‘GPS’ dalam mengekang sistem kawalan diri daripada runtunan hawa nafsu yang sering mendominasi dan membabaskan kita daripada bertindak jujur dan luhur. Ia merupakan suatu latihan yang amat baik dalam meningkatkan prestasi dan disiplin kerja seseorang staf.
Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau juga mengingatkan semua staf bahawa selain menambah ‘saham akhirat’, Ramadhan juga menawarkan ‘bonus’ pahala berganda melalui ‘interaksi’ dengan Al Quran dengan bertadarus dan menghayatinya, ‘menghidupkan’ masjid melalui solat berjemaah, solat surat Tarawih dan Qiamullail (10 malam terakhir) serta mengeratkan silaturrahim di kalangan staf dan komuniti setempat melalui program sepanjang Ramadhan yang telah disediakan oleh Pusat Islam.

Justeru itu, antara program yang akan mewarnai sepanjang Ramadhan kali ini adalah seperti berikut: a) Ceramah Hilal Ramadhan b) Solat sunat Tarawih c) Majlis berbuka puasa secara beramai-ramai d) Gotong-royong e) Menyediakan Bubur lambuk f) Tadarus Al-Quran (dijangka bermula pada 7 Ogos 2012) g) Tazkirah Tarawih h) Lawatan ke wad perempuan dan kanak-kanak di Hospital Parit Buntar i) Solat Tarawih (bakal menjemput Imam dari Mekah pada 31 Julai 2012)

Sepertimana yang telah dirancang sebagai pembuka tirai, penceramah jemputan Yang Berbahagia Sheikh Abu Bakar dari Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah memberikan ceramah yang sebahagian besar intisarinya menyentuh mengenai ketaqwaan dan iman dalam konteks penjanaan Ramadhan yang lebih sempurna.
Sebelum itu, lebih daripada 10 orang kakitangan sambilan dan fakir miskin telah diraikan dan menerima sumbangan yang disampaikan oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan
Majlis juga turut dihiburkan dengan persembahan nasyid daripada anak-anak didikan KAFA sebelum semuanya menjamu selera di Pusat Islam.
Informasi oleh: Mokhtar Alfakari Anurbek , Mohd Shaiful Answar (Pelatih UTM) & Tuan Haji Azwan Affendy
Foto: Shafizan Zoolkiffli
No. Siri: 25/2012 |