Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

SESI PERJUMPAAN DI KAMPUS KEJURUTERAAN BERI PENDEDAHAN TERBAIK KEPADA AMALAN PENGURUSAN ASET TERBAIK DAN KELESTARIAN – TNC BJIM&KI

DSC 1062

NIBONG TEBAL, 18 April 2023 – Sesi perjumpaan Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi (BJIM&KI), bersama Pengurusan Tertinggi, Ketua Jabatan dan Pegawai Kampus Kejuruteraan merupakan pendedahan kepada amalan – amalan terbaik kerja berpasukan dalam menguruskan aktiviti pengurusan aset serta kelestarian.

Berikut adalah seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi (BJIM&KI) itu sendiri, Profesor Dr. Azlan Amran selepas tamatnya program tersebut di Dewan Seminar, Kampus Kejuruteraan di sini hari ini.

“Tujuan program kita kali ini adalah untuk kita lebih mendalami praktis-praktis serta amalan-amalan yang telah dijalankan di kampus ini.

“Malah, saya sangat kagum dengan apa yang telah dikongsikan, oleh Pasukan Pengurusan Aset Kampus Kejuruteraan yang dipimpin oleh Jabatan Bendahari, Kampus Kejuruteraan serta Pengarah, Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai Dan Saliran Bandar, Profesor Madya Dr. Mohd Remy Rozainy Mohd Arif Zainol akan inisiatif-inisiatif kelestarian yang telah dijalankan di sekitar kampus selama ini,” kata Azlan.

DSC 1108

DSC 1125

“Pembentangan seperti ini membuka mata saya terutamanya akan manfaat di sebalik pelaksanaannya yang bukan sahaja boleh kita belajar bersama tetapi juga dikembangkan di kampus-kampus USM, terutamanya dari slogan 3J iaitu Jaga, Jana dan Jimat yang diperkenalkan dan sedang dipraktikkan sepenuhnya oleh Pasukan Pengurusan Aset PTJ di setiap kampus” tambah beliau.

Selain daripada itu, Azlan turut berharap agar agenda kelestarian serta pengurusan aset ini mendapat sokongan daripada semua pihak di mana ianya kelak dapat ditambah baik serta dimantapkan lagi demi kebanggaan bersama di masa akan datang.

“Namun, untuk tahun ni tahun pertama ini, saya memfokuskan kepada konteksnya di dalam universiti di samping memperkenalkan beberapa inisiatif yang ada sambil memberi kesedaran akan agenda-agenda kelestarian ini kepada semua yang terlibat,” jelas beliau.

DSC 1155

DSC 1162

DSC 1186

“Pada tahun berikutnya, pelancaran kepada praktis-praktis serta amalan-amalan terbaik yang boleh dilaksanakan akan terutamanya yang sejajar dengan status USM sebagai kampus lestari dan manfaatnya akan kita dapat lihat pada tahun yang ketiga pelaksanaan,” tambah Azlan.

Sebagai susulan, Profesor Dr. Azlan Amran akan kembali ke Kampus Kejuruteraan dalam masa dua bulan akan datang bagi meninjau semula perkembangan di sebalik sesi perjumpaan yang diadakan pada hari ini.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdrul Rahman