Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PROGRAM SANTAI DI KEJURUTERAAN GALAK PELAJAR SERTAI AKTIVITI BERKAYAK

WhatsApp Image 2023 05 10 at 8.57.37 PM 1

NIBONG TEBAL, 13 Mei 2023 – Program Santai Petang yang dibuka kepada pelajar di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan satu galakan kepada mahasiswa dan mahasiswi di sini untuk menyertai aktiviti berkayak.

Anjuran Gabungan Anak-Anak Pulau Pinang (GAPP) dan Kelab Rekreasi Kampus Kejuruteraan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) Kampus Kejuruteraan, Program Kayak Santai di Lantai Alam, Kampus Kejuruteraan itu telah diadakan pada 10 Mei 2023 baru-baru ini.

Menurut Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Encik Mohd Hafiz Ali Mohd Anuar, program santai seperti ini diharap dapat membantu dalam membina kemahiran komunikasi dan pembinaan pasukan di antara pelajar yang terlibat.

“Perkara ini adalah kerana pelajar perlu bekerja dalam kumpulan untuk menyelesaikan masalah sepanjang beraktiviti tersebut.

WhatsApp Image 2023 05 10 at 8.57.38 PM 1

“Selain daripada itu, berkayak yang merupakan sebahagian daripada aktiviti riadah ini juga dapat menjadi medium kepada mereka itu menghilangkan tekanan setelah bertungkus lumus dengan pelajaran masing-masing,” tambah beliau.

Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada mahasiswa untuk mencuba serta mempelajari sukan berkayak sebagai salah satu aktiviti rekreasi yang menarik sambil melihat keindahan alam di sekitar kampus.

Malah, program yang dijalankan ini juga telah mendapat perhatian serta reaksi positif di kalangan mahasiswa di mana mereka rata-rata berkongsi keterujaan untuk mencuba berkayak bersama kawan-kawan.

Melihat kepada sambutan yang menggalakkan ini juga, GAPP dan Kelab Rekreasi Unisains (KRU) Kampus Kejuruteraan sedang berhasrat untuk meneruskan program ini lagi pada masa hadapan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim Photo: Sumbangan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Kampus Kejuruteraan