Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM DINOBAT JUARA PERTANDINGAN DEBAT PIALA ORATOR (DEBORA) ANTARA IPT 2023

WhatsApp Image 2023 05 06 at 14.59.19

KOTA KINABALU, 5 Mei 2023 – Pertandingan Debat Piala Orator Antara Institut Pengajian Tinggi (IPT) Peringkat Kebangsaan kali ke-9 atau DEBORA 2023 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melabuhkan tirai dengan menyaksikan Pasukan Debat Bahasa Melayu USM berjaya dinobatkan Juara pertandingan selepas menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan.

Dengan usul peringkat akhir, ‘Reformasi Politik Malaysia Nafas Baharu Pembangunan Malaysia Timur’, pasukan USM berjaya mencatat kemenangan juri 5-0 dan margin kemenangan 5.0.

Saudara Muhammad Hafizi Mohamad Hanafi (Tahun 4, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan) juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pendebat Terbaik Akhir pada malam penuh bermakna itu. Beliau turut berjaya merangkul Anugerah Pendebat Terbaik Liga bagi edisi kali ini.

Pasukan USM yang turut dianggotai oleh saudara Abdullah Nudin (Tahun 4, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan), Nursyazana Haron (Tahun 4, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia) dan Muhammad Asri Zainuddin (Tahun 4, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal) telah merangkul hadiah wang tunai RM1,000, Piala Pusingan Pertandingan berserta hadiah iringan.

Saudari Jana Bahram yang merupakan Yang di-Pertua Kelab Debat dan Pengucapan Awam (KDPA) USM turut bersama mengiringi pasukan debat USM di pertandingan yang dianjurkan di UMS itu.

Pertandingan Akhir dan Majlis Penutupan DEBORA 2023 telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai utama UMS.

Menurut Raman Noordin, edisi kali ini telah menerima jumlah penyertaan yang tertinggi melibatkan 18 buah pasukan IPT seluruh Malaysia termasuklah Universiti Malaya, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Teknologi Petronas.

Sementara itu, Muhammad Hafizi berkata, peluang tidak selalunya datang dan bila ada, manfaatkan sebaik mungkin supaya apa sahaja keputusan yang menanti, kita akan berpuas hati dan tidak kecewa.

“Saya yakin, hasil tidak akan mengkhianati usaha,” katanya.

Siaran ulangan Pertandingan Akhir dan Majlis Penutupan DEBORA 2023 yang bersiaran langsung dari Dewan Resital, UMS boleh disaksikan melalui pautan, https://fb.watch/kn4h--gkLm/?mibextid=5Ufylb.

Teks: Abdullah Nudin/Suntingan: MPRC