Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PELAJAR PPK AEROANGKASA HADIAHKAN PINGAT GANGSA KEPADA NEGARA DI SUKAN SEA KEMBOJA

dasfsdsdf

NIBONG TEBAL, 26 Mei 2023 - Shanggamithara A/P Parameswaran, pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa (PPK Aeroangkasa), Universiti Sains Malaysia (USM) menghadiahkan pingat kepada Malaysia apabila memenanginya semasa bertanding di Sukan SEA Kemboja baru-baru ini.

Pelajar tahun pertama berusia 20 tahun ini berjaya menunjukkan kemampuan beliau selaku wakil negara dengan memenangi pingat gangsa melalui acara berpasukan Floorball dalam pertandingan yang diadakan dari 5 hingga 17 Mei 2023 lalu.

WhatsApp Image 2023 05 25 at 1.00.27 PM

Shanggamithara ketika dihubungi berkata, beliau amat berbangga dapat mewakili negara dan seterusnya menjadi salah seorang daripada penyumbang keseluruhan 97 pingat gangsa yang dimenangi kontinjen Malaysia pada temasya edisi ke-32 itu.

“Namun demikian, pencapaian ini juga pastinya tidak dapat dilaksanakan tanpa sokongan daripada kedua ibu-bapa, keluarga serta kawan-kawan.

“Begitu juga para jurulatih, pengurus-pengurus dan rakan sepasukan kerana sentiasa percaya dengan kebolehan saya untuk mewakili negara dalam pertandingan seperti ini,” kata beliau.

“Tidak dilupakan kepada USM kerana mengiktiraf dan menghargai pencapaian saya sebagai pelajar dalam membawa legasi 'Kami Memimpin' ke mana juga kami berada,” tambah Shanggamithara lagi.

Ketua Unit Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) Kampus Kejuruteraan, Encik Mohd Hafiz Ali Mohd Anuar melahirkan menyatakan rasa bangga beliau di atas pencapaian Shanggamithara selaku pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga sukan.

“Saya berharap kejayaan beliau ini akan menjadi satu contoh kepada pelajar-pelajar lain dan memotivasikan mereka untuk terus cemerlang bukan sahaja di peringkat universiti mahupun dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Semoga lebih ramai lagi pelajar khususnya di Kampus Kejuruteraan akan terus bersaing demi nama baik USM dan Malaysia di masa akan datang,” kata beliau.

Dua lagi pelajar USM yang turut menyertai pertandingan tersebut adalah Zephaniah Chong En Wei, yang sedang mengikuti pengajian Doktor Falsafah di Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) dan Ang Ling Ling, pelajar Ijazah Sarjana dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/ Foto: Ihsan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA)