PERSIDANGAN ICT4U 2.0, BINCANG HALA TUJU TRANSFORMASI DIGITAL DALAM SEKTOR PENDIDIKAN TINGGI NEGARA
PULAU PINANG, 19 September 2024 – Persidangan ICT for University 2024 (ICT4U 2.0), anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung dari 18 hingga 19 September 2024, berjaya dalam membincangkan hala tuju transformasi digital dalam sektor pendidikan tinggi negara.
Persidangan ini menyaksikan kehadiran Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) merangkap Ketua Pegawai Digital (CDO), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Mohamad Azhan Md. Amir yang hadir dalam memberi ucapan seterusnya merasmikan upacara penutup program.
"Persidangan ini telah menyaksikan pembentangan yang meangkumi topik-topik penting seperti Kecerdasan Buatan (AI), Infrastruktur Digital, Big Data, Keselamatan ICT dan konsep Kampus Pintar.
“Ianya merupakan satu perkembangan yang sangat relevan dengan masa hadapan yang lebih inovatif dan berimpak tinggi," ujar Datuk Mohamad Azhan dalam persidangan yang bertemakan "Foresighting Digital Evolution for Sustainable Education" ini.
Di samping itu, beliau turut menegaskan kepentingan pelaksanaan Pelan Strategik Pendigitalan di setiap universiti sebagai langkah penting untuk meneraju perubahan serta penerimaan teknologi digital yang terkini.
Menurut Mohamad Azhan, salah satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyokong usaha ini adalah pembangunan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025) bagi Pendidikan Tinggi.
Inisiatif ini, yang termasuk dalam Inisiatif 1, memberi tumpuan kepada peningkatan kapasiti rangkaian digital di institusi pendidikan melalui Malaysian Research and Education Network (MYREN).
“Oleh itu, saya ingin menyeru agar semua pegawai dan ketua ICT di universiti untuk berganding bahu dalam merealisasikan pendigitalan sepenuhnya di institusi masing-masing, demi mempertingkatkan keberkesanan pengurusan dan pentadbiran melalui teknologi maklumat,” tambah Mohamad Azhan.
Majlis penutup persidangan turut disertai Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan, Ketua Pegawai Digital USM, yang mana dalam ucapannya mewakili Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, menzahirkan rasa syukur kerana persidangan berjalan lancar dengan kerjasama padu semua pihak.
"Setiap sesi yang berlangsung selama dua hari ini saya lihat telah berjaya memperkasakan pengurusan digital di universiti dan agensi untuk kita semua bersedia dalam menghadapi cabaran serta peluang yang datang dengan revolusi digital ini," katanya.
Malah, beliau juga menegaskan pentingnya kerjasama berterusan dalam memastikan universiti-universiti dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi di Malaysia terus maju ke hadapan dalam era pendigitalan.
Dr. Firdaus turut berharap agar ilmu dan pandangan yang diperoleh sepanjang dua hari persidangan ini dapat dikongsikan bersama rakan-rakan di universiti dan agensi masing-masing, demi menyokong agenda pendigitalan negara.
Dibawakan oleh Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT) USM, persidangan ICT4U 2.0 ini berjaya menarik penyertaan 157 orang peserta dengan 29 jumlah kertas kerja telah berjaya dibentangkan oleh 27 orang pembentang.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman