Skip to main content

DARI IMPIAN ZAMAN KANAK-KANAK, ANAK KAKITANGAN BENDAHARI KEJURUTERAAN KINI PELAJAR SARJANA MUDA KEJURUTERAAN ELEKTRONIK USM

There is no translation available.

DSC 6336

NIBONG TEBAL, 6 Oktober 2024 – Damia Diyaana Dahlan (19), anak kepada Khatijah Said (43), kakitangan Jabatan Bendahari Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), antara 749 orang pelajar yang mendaftar sebagai pelajar baharu di kampus ini hari ini.

Damia, yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin dan Kolej Matrikulasi Pendang ini akan memulakan pengajian beliau dalam program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian.

Ketika ditemubual, Damia menjelaskan bahawa, sejak kecil beliau telah menanam impian untuk melanjutkan pelajaran di USM, memandangkan dia sering mengikuti ibunya ke kampus bagi urusan kerja dan lain-lain.

“Keseringan melihat situasi di mana abang-abang dan kakak-kakak senior pergi ke kelas dan menuntut ilmu di USM menjadi titik tolak kepada minat saya untuk melanjutkan pengajian di universiti ini sejak dulu lagi,” kata Damia.

DSC 6338

“Malah, ketika permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) dibuka, empat pilihan pertama sudah semestinya kursus-kursus di universiti ini dan bukan universiti lain!” tambah anak sulung dari tiga orang adik beradik ini.

Sementara itu, Puan Khatijah sebagai ibu turut meluahkan rasa syukur atas kejayaan anaknya.

“Sebagai ibu, saya berasa sangat gembira kerana Damia telah diterima masuk ke USM kerana sejak kecil lagi, dia sangat dekat dengan USM.

“Pengalaman Damia di USM bermula sejak sekolah tadika lagi di Minden sebelum seterusnya sering melihat saya sebagai ibunya bertugas di universiti sebagai Penolong Akauntan,” ujar Khatijah.

“Dalam keluarga kecil kami,Damia juga sangat terkenal kerana minat mendalamnya dalam bidang kejuruteraan di mana jika ada masalah kejuruteraan di rumah, dialah yang akan menyelesaikannya,” tambah beliau.

“Pendaftaran hari ini pula merupakan langkah pertamanya dalam merealisasikan impian beliau untuk menjadi seorang jurutera kelak,” kata Puan Khatijah mengakhiri perbualan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman.