Skip to main content

USM PELOPOR PROGRAM PENSIJILAN KEMAHIRAN MALAYSIA BAGI BIDANG PENGURUSAN SISA PEPEJAL DAN PEMBERSIHAN AWAM DI MALAYSIA

There is no translation available.

DSC 2499

NIBONG TEBAL, 23 Mei 2022 - Universiti Sains Malaysia (USM) kini merupakan pelopor kepada Program Pensijilan Kemahiran Malaysia bagi bidang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pengurusan Awam, yang pertama seumpamanya di kalangan universiti – universiti dalam negara.

Melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA) dan dipilih oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), program ini menawarkan pelajar kejuruteraan USM dengan Sijil Kemahiran Malaysia Penyeliaan Operasi Pengumpulan Sisa Pepejal Tahap 3 secara dual certificate.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, kursus ini adalah usaha bersama semua pihak yang terlibat dalam meningkatkan kemahiran dan kelestarian tenaga kerja mahir dalam pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Malaysia.

Apatah lagi menurut beliau, sememangnya menjadi tugas universiti untuk menggalas tanggungjawab bersama memacu masa depan industri khususnya dalam pengurusan sistem pepejal dan pembersihan negara.

DSC 2462

DSC 2386

Tambahan pula, ianya adalah untuk memastikan sisa-sisa yang terkumpul dapat dikawal selia dengan baik dan dikitar semula bagi mengurangkan impak pencemaran yang semakin serius memandangkan pengurusan sisa pepejal adalah tunjang utama kepada perkara ini.

Faisal Rafiq turut menggesa agar setiap pelajar memaksimumkan peluang yang telah disediakan melalui program ini dalam mempersiapkan diri masing-masing untuk berdepan dengan dunia pekerjaan yang sebenar kelak.

DSC 2395

DSC 2523

Bagi Dekan PPKA, Profesor Dr. Mohd Suffian Yusoff pula, selain daripada mempelajari the fundamentals of sciences dan subjek kejuruteraan semasa pembelajaran bagi keperluan Ijazah Sarjana Muda masing-masing, sijil kemahiran ini juga akan menjadi satu nilai tambah kepada para pelajar.

Malah, Suffian turut menyampaikan ucapan terima kasih beliau kepada SWCorp dan JPK yang telah memberi kesempatan kepada Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam USM untuk ditauliahkan sebagai Solid Waste Training Centre (Northern Region) negara melalui program ini.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria; Ketua Pegawai SWCorp, Tuan Haji Ismail Mokhtar dan Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Teknologi SWCorp, Ir. Ts. Dr. Mohd Azhar bin Abd Hamid.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman