KENYATAAN AKHBAR - PELANTIKAN NAIB CANSELOR UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM)

321430244 577391340901615 2267920890857362524 n

Sukacita dimaklumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melantik YBhg. Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed sebagai Naib Canselor kesembilan Universiti Sains Malaysia (USM) berkuat kuasa mulai 3 Januari 2023.

YBhg. Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed sebelum ini pernah menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM dari 1 Mei 2016 hingga 30 April 2018. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM dari 1 Mei 2018 sehingga kini.

Selain memiliki pengalaman pentadbiran yang sangat luas, beliau juga ialah seorang penyelidik yang disegani terutamanya dalam bidang Applied Sciences and Technologies di dalam mahupun luar negara.

Pelantikan YBhg. Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed juga dibuat berdasarkan kepada kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian beliau baik dari aspek kepimpinan mahupun penyelidikan sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

323177089 885331105998685 4385192200480297847 n

Pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dalam kenyataannya berkata, sebagai satu-satunya universiti awam di Malaysia yang telah dipilih untuk Accelerated Programme for Excellence (APEX), KPT yakin dengan pelantikan YBhg. Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed sebagai Naib Canselor USM yang baharu dapat memperkukuhkan lagi sektor pendidikan tinggi negara, seterusnya membina masa depan negara yang lebih mapan dan sejahtera.

Pengerusi Lembaga Gabenor USM, YBhg. Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin turut mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan pelantikan YBhg. Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed sebagai Naib Canselor USM yang baharu.

Beliau menyeru semua warga USM untuk memberi sokongan dan kerjasama yang terbaik kepada Naib Canselor yang baharu kerana usaha memastikan kecemerlangan USM adalah tanggungjawab bersama.

Beliau dan kepimpinan tertinggi universiti juga komited bagi memastikan proses peralihan pucuk pimpinan universiti dapat dilaksanakan dengan sesempurna mungkin.

Bagi pihak USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, atas khidmat bakti dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor USM mulai 4 Oktober 2019 hingga 3 Oktober 2022.

Beliau turut berbangga kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan YBhg. Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan khususnya dalam mengharungi tempoh amat mencabar ketika negara berdepan dengan pandemik 2019.

USM amat menghargai jasa bakti YBhg. Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dalam menerajui USM sebelum ini.

322969615 1333687857388930 4656204352912868926 n

LATAR BELAKANG DAN PENGALAMAN

Abdul Rahman, 59, lahir di Pulau Pinang pada 14 Januari 1964, berkelulusan Ijazah Kedoktoran dari Amerika Syarikat. Anak jati Pulau Pinang yang dimartabatkan sebagai antara ahli akademik tersohor negara pada peringkat antarabangsa melalui Anugerah Highly Cited Researcher bagi tahun 2018-2019 dan 2021 oleh Clarivate Analytics.

Beliau yang mula berkhidmat di USM pada 1993, juga telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak 7 kali (1998-2000, 2005, 2011, 2013, 2019) sepanjang 30 tahun perkhidmatan.

Beliau adalah seorang pakar Nanosains dan Nanoteknologi yang dilantik oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) mengetuai Pasukan Petugas membangunkan Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara 2021-2030 serta Pengerusi ASM Northern Chapter yang melakukan inisiatif pembangunan modal insan, khususnya berkaitan STEM.

Beliau menganggotai beberapa jawatankuasa di peringkat Kementerian sebagai ahli panel teknikal serta pakar rujuk.

Beliau dianugerahi Tokoh Maulidur Rasul Negeri Pulau Pinang 2018.

USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada beliau atas lantikan tersebut.

PUSAT MEDIA DAN PERHUBUNGAN AWAM, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

3 Januari 2023

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
 | USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015