USM BERGANDING BAHU TEROKAI PENYELIDIKAN TENAGA DIPERBAHARUI

DSC 4170

NIBONG TEBAL, 7 Januari 2023 – Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (PPKM) dan Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC), Universiti Sains Malaysia (USM) berganding bahu meneroka penyelidikan dalam bidang tenaga diperbaharui melalui projek Skybelt hasil jaringan kerjasama antara Universiti Eropah dan Universiti Asia.

Gandingan ini adalah bermatlamat untuk mengembangkan pengetahuan serta kemahiran kepada pelajar-pelajar institusi pendidikan tinggi dalam bidang kelestarian tenaga diperbaharui.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Profesor Madya Dr. Jamaluddin Abdullah, projek Skybelt memberi fokus kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran secara moden bagi memenuhi kehendak dan keperluan semasa yang memerlukan Jurutera profesional dan berkemahiran tinggi untuk menerajui industri dalam bidang tenaga.

DSC 4113

DSC 4189

 

Katanya lagi kolaborasi seumpama ini akan menyumbang kepada impak Sustainable Development Goal (SDG).  Ini bertepatan dengan kedudukan semasa USM yang mendapat tempat ke-4 bagi kategori kelestarian yang dianugerahkan oleh Times Higher Education.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan, Profesor Dr. Mohd Azmier Ahmad pula berkata, bagi merealisasikan projek Skybelt ini sebuah makmal guna sama yang diberi nama Advanced Renewable Energy Research Laboratory diwujudkan di SERC yang bertujuan untuk melakukan penyelidikan dalam bidang tenaga diperbaharui.

DSC 4316

DSC 4361

“Makmal ini telah mendapat dana peruntukan khas daripada Erasmus + Programme of the European Union yang berpengkalan di Eropah dan akan menjadi pencetus kepada penyelidik, pensyarah dan pemain industri untuk menerokai kajian dan penyelidikan dalam bidang tenaga diperbaharui,’’ ujarnya lagi.

Terdahulu telah berlangsung The10th Skybelt Project Meeting yang melibatkan delegasi seperti berikut iaitu University eCampus Italy, Northumbria University, Cukurova University, Naresuan University, Chiang Mai University, Beijing University of Technology, Lanzhou Jiatong University, Universiti Putra Malaysia dan Kumpulan Penyelidik Tenaga Diperbaharui USM yang terdiri daripada Prof. Zainal Alimuddin Zainal Alauddin, Profesor Madya Mohamad Yusof Idroas, Dr. Khaled Ali Al-Attab, Profesor Dr. Mohd Azmier Ahmad, Dr. Teoh Yew Heng dan Encik Muhammad Azman Miskam.

Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid/Foto : Muhammad Taufik Abdul Rahman