UNIVERSITI SAINS MALAYSIA ADALAH KEUTAMAAN KITA – NC

DSC 3965

NIBONG TEBAL, 6 Januari 2023 – Jadikan universiti ini sebagai keutamaan sebelum matlamat diri kita masing-masing, kata Naib Canselor baharu Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Rahman berkata demikian ketika hadir dalam lawatan pertama beliau ke kampus ini sejak memegang jawatan tersebut pada 3 Januari yang lalu dan seterusnya mengadakan pertemuan dengan Pengarah, Dekan-dekan serta Ketua-ketua Jabatan Kampus Kejuruteraan di Dewan Seminar hari ini.

Menurut beliau, apabila kita sebagai kakitangan ikhlas dalam setiap yang dilakukan dan tidak mempedulikan permasalahan kecil yang lain, akhirnya ia akan mendatangkan manfaat kepada semua terutamanya apabila semuanya berganding bahu melakukan setiap yang terbaik.

DSC 3924

DSC 3985

Malah beliau turut menyeru agar semua warga Kampus Kejuruteraan mengamalkan konsep kerja berpasukan yang berterusan agar Kampus Kejuruteraan kekal relevan kepada semua pihak memandangkan statusnya sendiri yang cemerlang selama puluhan tahun ini.

Bercakap mengenai pelantikan baharunya sebagai Naib Canselor USM, Datuk Rahman menyatakan bahawa ia satu amanah dan tanggungjawab yang berat untuk dipikul, justeru, sokongan dan kerjasama staf di semua peringkat amat diperlukan bagi menggalas tugas yang mencabar ini.

Beliau turut menyatakan harapan untuk melihat lebih banyak penglibatan secara langsung semua pihak di bawah pentabirannya di mana ia akan membantu beliau dan pihak pengurusan untuk melatih serta menghasilkan lebih ramai bakat baharu dan pemimpin pelapis untuk mewarisi kepimpinan universiti kelak.

Teks: Siti Faizah Abd Halim

Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman