USM DAN KAMUNTING PREMIX PLANT SDN. BHD. BANGUNKAN PENGISI ALTERNATIF UNTUK BAHAN TURAPAN LESTARI

DSC 4461

NIBONG TEBAL, 10 Januari 2022 – Universiti Sains Malaysia dan Kamunting Plant Sdn. Bhd akan membangunkan bahan turapan lestari melalui penandatanganan Non-Disclosure Agreement (NDA) antara kedua-dua pihak di sini hari ini.

Ikatan perjanjian NDA ini menunjukkan kerjasama erat universiti-industri dalam usaha membangunkan bahan turapan lestari dengan menggunakan bahan pengisi alternatif dari sisa industri melalui kerjasama kajian dilakukan melibatkan penyelidik dari Sustainable Asphalt Research Group (SARG), yang diketuai oleh Profesor Madya Ts. Dr Mohd Rosli Mohd Hasan, di Makmal Kejuruteraan Lebuhraya, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA), USM dan Makmal KPP Sdn. Bhd. Penyelidikan asas terperinci juga dijalankan menerusi tajaan geran Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) dibawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Malaysia.

Perjanjian ini akan turut melibatkan percubaan dan pemantauan berterusan di lapangan, dan keputusan akan dibentang ke beberapa agensi yang berkaitan, iaitu Pavement Research Centre (PRC), PLUS Expressways Berhad, serta pihak berkuasa lain.

DSC 4430

DSC 4455

Kebaikan pembangunan ini dipercayai dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan pengisi komersial yang memerlukan penggunaan tenaga dan pembebasan gas rumah hijau yang tinggi semasa proses penghasilan bahan tersebut.

Selain itu, usaha penyelidikan bersama ini akan dapat membantu usaha negara ke arah pencapaian pelepasan karbon sifar bersih (net zero carbon) dalam industri pembinaan di Malaysia.

Malah, sebelum ianya digunakan sebagai bahan pengisi dalam bahan turapan, pengisi alternatif ini terlebih dahulu diaplikasikan sebagai bahan pemerangkap partikal seperti karbon, pelepasan asap ke udara melalui cerobong di kilang pemprosesan batu kapur, justeru mengurangkan kesan kepada alam sekitar, meningkatkan kualiti udara, menyediakan darjah kesejahteraan hidup yang lebih baik kepada orang awam, dan membantu dalam meningkatkan ketahanan bahan turapan jalan terhadap tindakbalas lembapan (agen anti-perlucutan).

Kebaikan-kebaikan yang dinyatakan telah menyerlahkan kelestarian projek ini.

Teks: Profesor Madya Ts. Mohd Rosli Mohd Hasan
Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman