USM PASANG SISTEM SOLAR: INISIATIF KURANGKAN PENCEMARAN KARBON DIOKSIDA DAN PERKASA KONSEP KAMPUS LESTARI
NIBONG TEBAL, 8 Februari 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan inisiatif menggunakan tenaga solar bagi menjana tenaga elektrik yang lebih lestari melalui pemasangan sistem solar panel photovoltaic (PV) di Kampus Kejuruteraan dengan kapasiti maksimum 4.3 MWp (Mega Watt Peak).
Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran berkata, dengan pemasangan sistem solar itu, Kampus Kejuruteraan USM dijangka dapat mengurangkan kadar pencemaran karbon dioksida (CO2) sehingga 97,000 tan metrik bagi tempoh 25 tahun yang akan datang.
Selain itu katanya, projek yang menelan belanja sebanyak RM14 juta melalui kaedah Pelawaan Memberikan Cadangan (RFP) ini turut dapat menampung sehingga 45% penggunaan tenaga tahunan daripada tenaga boleh baharu berkenaan.
“Hasil daripada penjanaan tenaga solar itu juga, Kampus Kejuruteraan USM dijangka dapat menjimatkan sehingga 30% bil utiliti TNB. Selain itu, tenaga elektrik yang dijana melalui solar PV ini boleh mencapai sehingga 75% beban maksimum pada satu-satu masa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Projek Penjanaan Tenaga Boleh Baharu Melalui Pemasangan Sistem Solar PV Kampus Kejuruteraan USM, di sini hari ini.
Beliau juga berkata, Kampus Kejuruteraan secara tidak langsung juga akan dapat menjayakan salah satu konsep kampus lestari yang menjadi matlamat utama USM iaitu Sustainability@USM> dengan menggunakan tenaga boleh baharu.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi Zakaria; Pengarah Urusan Kumpulan, Sunway Construction Group Berhad, Liew Kok Wing; Penolong Pengurus Besar – Tenaga Lestari, Sunway Engineering Sdn. Bhd., Foong Jin Xiang; dan Timbalan Pengarah, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset, Kampus Kejuruteraan, Ismail@kamalshani Osman.
Teks: Marziana Mohamed Alias