Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

1000 MAHASISWA MERIAHKAN INTERNATIONAL CULTURAL FIESTA’15

Caltural Fiesta DSC6849

NIBONG TEBAL, 4 April 2015 – Lebih 1,000 mahasiswa meriahkan International Cultural Fiesta’15 anjuran 30 pelajar USM Student Buddies yang berperanan sebagai urus setia program dengan kerjasama Pejabat Antarabangsa yang berlangsung di Dewan Utama di sini hari ini.

Cultural Fiesta 6837

Pada acara tersebut sebanyak 18 buah booth pameran dibuka yang melibatkan sebanyak 60 pelajar pertukaran antarabangsa dari pelbagai negara melibatkan diri dalam memperkenalkan budaya masing-masing.

Antara negara yang terlibat menyertai pameran ini adalah dari China, Jepun, India, Indonesia, Pakistan, Afghanistan, Korea Selatan, Nigeria, Iran dan Jerman.

Cultural Fiesta 6839

Menurut Pengarah Projek, Muhamad Naim Mohd Isa, 22, program ini diadakan bertujuan untuk membuka peluang kepada para pelajar pertukaran bagi berkongsi budaya dengan pelajar tempatan.

“Menerusi program ini, satu interaksi yang baik antara pelajar pertukaran antarabangsa dan pelajar tempatan dapat dipupuk antara satu sama lain”, kata Naim.

Cultural Fiesta 6856

“Saya yakin dengan adanya program seperti ini pelajar USM terutamanya dapat melihat sendiri budaya baru negara lain dan program ini pasti dapat mengeratkan hubungan pelajar kita dengan pelajar antarabangsa”, tambah pelajar tahun 3, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber  Mineral itu.

Beliau berkata, terdapat beberapa lagi program yang akan dilaksanakan pada masa depan dibawah program pertukaran pelajar ini, antaranya Coffee Our Day yang mempamerkan kepelbagaian  bahasa dan Colour One Malaysia yang mempamerkan budaya atau cara hidup negara masing-masing.

Caltural Fiesta DSC6830

“Sebenarnya setiap semester akan diakhiri dengan majlis Gala Night untuk menghargai usaha-usaha pelajar dalam menganjurkan program yang dapat membudayakan mahasiswa seperti yang akan disambut pada malam ini”, katanya lagi.

Sementara itu, turut ditemui pelajar Ijazah Sarjana Hiasan Dalaman, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PBP), Akram Ali Zwain, 24, berkata beliau sangat menyokong program ini kerana dapat memberikan banyak faedah kepadanya dan rakan-rakan yang lain kerana dapat mengenali budaya dari pelbagai negara.

Caltural Fiesta DSC6834

“Ini merupakan satu peluang yang sangat baik khususnya kepada pelajar antarabangsa seperti saya untuk mengetahui dan mendapatkan maklumat mengenai kepelbagaian budaya dalam kalangan pelajar”, kata Akram yang berasal dari negara Iraq.

“Saya harap pihak universiti dapat meneruskan program seperti ini kerana ia banyak memberi manfaat kepada para pelajar khususnya malah ia lebih bagus sekiranya dapat diperluaskan dengan melibatkan universiti lain dalam negara ini”, tambah Akram.

Caltural Fiesta DSC6846

Dalam pada itu, salah seorang wakil pelajar dari negara matahari terbit yang ditemui, Kyohei Sato, 20,  turut bersetuju dengan pendapat Akram yang mana beliau meluahkan rasa gembira kerana dapat turut serta dalam program yang banyak memberi peluang untuk mereka berkongsi tentang budaya negara masing-masing.

Caltural Fiesta DSC6883

“Semoga semua pengunjung gembira dan menikmati sushi asli yang kami sediakan sendiri khas buat mereka yang datang ke ruang pameran kami ini. Kami bersedia untuk menjawab semua persoalan yang akan ditanya mengenai negara kami”, ujar pelajar Akita International University, Jepun dalam jurusan Sains Kemasyarakatan itu.

Caltural Fiesta DSC6843

Beliau dan rakan-rakan negara asalnya berhasrat untuk mengetahui lebih banyak mengenai negara Malaysia dan telah mempunyai perancangan untuk membuat lawatan ke kawasan hidupan klip-klip di Taiping, Perak pada minggu hadapan.

Program Gala Night yang akan diadakan sebagai majlis penutup pada sebelah malam itu dijangka akan dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Prof. Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan isteri, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Prof. Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak serta beberapa pegawai utama universiti.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Muhammad Sarif Mhd. Rapiai