Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

SIKAP KERJASAMA DAN KERJA BERPASUKAN ADALAH NADI KAMPUS KEJURUTERAAN

DSC 6295

NIBONG TEBAL, 23 Mac 2022 - Sikap kerjasama dan kerja berpasukan adalah nadi warga kampus serta  menyumbang kepada sumber kejayaan serta kelestarian aktiviti Ramadhan di Kampus Kejuruteraan iUniversiti Sains Malaysia (USM).

Berikut adalah seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Kampusnya, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria ketika hadir merasmikan Majlis sambutan Hilal Ramadhan Peringkat Kampus ini di Dewan Seminar hari ini.

“Mana mungkin tanpa semangat kerjasama yang utuh ini akan dapat menjayakan aktiviti memasak dan memberi makan berbuka puasa setiap hari kepada 1000 orang jika ia hanya dilakukan oleh 10 atau 20 orang sahaja,” kata Azazi.

“Namun, dengan kerjasama daripada semua pihak yang sama-sama menggembleng tenaga dan bertungkus lumus memasak serta membuat persiapan setiap hari dari pagi sehingga selesai berbuka, ia akhirnya dapat dijayakan,” tambah beliau.

DSC 6304

DSC 6324

Azazi turut berpendapat bahawa untuk memastikan semua perkara berjalan seiring dengan perancangan juga bukanlah tugas yang mudah jika tidak ada kerjasama dan kerja berpasukan dari semua pihak.

“Malah, jika kita mengimbau nostalgia dan suasana sambutan Ramadhan dalam kampus kita ini, sudah pastinya kita akan dapat lihat dua unsur dan sumber utama kekuatan warganya dalam menjayakan setiap aktiviti sepanjang Ramadhan.

“Pertama adalah melalui sumbangan atau derma yang sering disalurkan dan yang kedua adalah jalinan hubungan yang utuh antara semua staf dari semua jabatan di dalam kampus yang tidak henti-henti membantu sambil memberi sokongan dalam semua agenda yang ingin dilaksanakan,” kata Azazi.

DSC 6365

DSC 6371

Seperti tahun-tahun sebelumnya, antara aktiviti utama yang akan diadakan di Kampus Kejuruteraan sepanjang bulan Ramadhan adalah jamuan berbuka puasa sepanjang bulan Ramadhan yang diadakan setiap hari di Masjid Pusat Islam Kampus.

Selain bertepatan dengan Sasaran Pembangunan Lestari (SDG) 2 yang mensasarkan Kelaparan Sifar, dana utama untuk majlis berbuka puasa sebanyak RM2,500 sehari dengan sasaran 1000 orang setiap hari ini juga merupakan sumbangan daripada orang ramai khususnya warga kampus.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Mat Noor Md Zain