Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

LANGKAH AWAL KAWAL AKTIVITI PERTANIAN TANAH TINGGI MELALUI KERJASAMA USM-DOA

DSC 7476

NIBONG TEBAL, 4 Mac 2022 - Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (Mou) di antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) merupakan langkah awal dalam kawalan hakisan dan kelodak (ESCP) untuk aktiviti pertanian di kawasan tanah tinggi.

Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pertanian, Dato’ Zahimi Hassan ketika hadir dalam majlis penandatanganan yang diadakan di Kampus Kejuruteraan USM baru-baru ini, langkah ini akan turut melibatkan aktiviti pengurusan pemuliharaan air di kawasan-terlibat terlibat termasuklah di Kawasan Pengurusan Khas (SMA).

Malah, Zahimi turut menyatakan bahawa kerjasama yang dijalankan ini juga akan dapat mengawal kejadian tanah runtuh di kawasan tanah tinggi memandangkan lokasinya yang lebih berisiko terhadap hakisan dan seterusnya meminimumkan impak pencemaran yang lain seperti banjir kilat serta banjir lumpur di masa akan datang.

Selain daripada itu, beliau turut memaklumkan bahawa satu dokumen serta garis panduan kawalan hakisan dan kelodak (ESCP) untuk aktiviti pertanian di kawasan tanah tinggi akan diwujudkan melalui kerjasama ini sebagai rujukan kepada pengusaha-pengusaha di beberapa Kawasan seperti Cameron Highland, Kinta dan Lojing.

DSC 7398

DSC 7346

Bagi Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan yang menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak USM pula, kerjasama pintar ini merupakan sebahagian daripada usaha serta tanggungjawab USM bukan sahaja terhadap komunitinya sahaja, malah masyarakat luar juga.

“Kita ingin menekankan bahawa setiap kerjasama yang kita laksanakan atau jalinkan, impaknya masih kepada menyumbang semula manfaatnya kepada masyarakat dan itu yang sentiasa dititikberatkan oleh universiti selama ini,” kata Faisal Rafiq.

“Malah, kita juga mahu pendidikan dan impak itu bergerak seiringan, apatah lagi dengan status USM sebagai satu-satunya universiti yang berfokus kepada kelestarian di kalangan golongan terkebawah (bottom billion),” tambah beliau.

DSC 7283

DSC 7431

Antara fokus lain MoU ini adalah untuk mewujudkan satu perkongsian strategik antara kedua pihak seperti maklumat, kemudahan, teknologi, kepakaran dan lain-lain di samping USM akan menyediakan modul pembelajaran dan latihan pada peringkat kursus asas, serta kepakaran dalam bidang kerjasama di pelbagai peringkat pengajian seperti Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.

Turut hadir adalah Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Tanah Jabatan Pertanian Malaysia, Puan Normaizah Hj. Ismail @ Manaf; Pengarah Pertanian Negeri Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Encik Muhaimin Ibrahim dan Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Tanah, Puan Khazana Ibrahim.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman