Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

CAREER FAIR, ACARA IKONIK KAMPUS KEJURUTERAAN DIANJURKAN SECARA HIBRID PADA TAHUN 2022

DSC 8970

NIBONG TEBAL, 1 Mei 2022 – Memasuki fasa peralihan endemik, pihak Career Fair 2022 mengambil pendekatan baharu dengan melaksanakan acara tahunan Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia ini secara hibrid.

Career Fair 2022 yang diadakan untuk tahun ke-16 ini merupakan medium terbaik dalam mempersiapkan pelajar bukan sahaja dari USM malah dari Institusi Pengajian Tinggi yang lain ke alam pekerjaan apatah lagi bagi mereka yang sedang berada dalam tahun akhir pengajian.

Malah, perkara ini turut diakui oleh Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasinya, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang berharap agar ianya akan melatih pelajar untuk memperhalusi kemahiran berfikir serta kemahiran berkomunikasi masing-masing untuk menghasilkan lebih banyak idea yang kreatif dan kritis setiap hari.

DSC 9031

DSC 9016

“Kami di USM percaya bahawa pendidikan tinggi adalah penting dalam proses peralihan untuk mengubah seseorang pelajar menjadi graduan yang bernilai tinggi di alam kerjaya terutamanya melalui latihan amali serta latihan industri yang disediakan di Career Fair 2022 ini,” kata beliau.

“Melalui pengalaman ini, pelajar juga seharusnya dapat belajar untuk bekerjasama dalam menangani perubahan dan cabaran di masa hadapan,” tambah Rahman ketika menyampaikan ucapan perasmian Career Fair 2022 di Dewan Utama Kampus Kejuruteraan.

DSC 9121

DSC 9205

Bagi Naib Presiden Micron Memory Malaysia, Encik Ramu Iyer yang juga merupakan penaja Platinum Career Fair 2022 percaya melalui gabungan penganjuran acara ini secara maya dan bersemuka jelas mampu memberikan pengalaman baharu kepada syarikat yang terlibat.

“Malah, ianya akan turut meyakinkan mereka untuk kembali menyumbang kepada acara ini di tahun-tahun akan datang di mana penganjuran secara hibrid itu sendiri adalah satu pencapaian luar biasa Kampus Kejuruteraan USM dalam memastikan ianya kekal relevan seiring dengan kemajuan zaman,” kata Ramu.

DSC 8963

DSC 8972

DSC 9549

“Bagi pihak Micron Memory Malaysia yang merupakan penaja platinum Career Fair selama empat tahun berturut-turut, saya berbangga menjadi sebahagian daripadanya dan secara peribadi akan bersama-sama dengan USM dalam memastikan medium ikonik ini terus melahirkan lebih ramai pendominasi pekerjaan di masa akan datang,” tambah beliau lagi.

Turut hadir dalam adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria serta Dekan-dekan Pusat Pengajian, Kampus Kejuruteraan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman