Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

14 EKOR LEMBU DISEMBELIH SEMPENA IBADAH KORBAN KEJURUTERAAN

DSC 0582

NIBONG TEBAL, 15 Julai 2022 – Sejumlah 14 ekor lembu dan seekor kambing disembelih untuk Program Korban dan Aqiqah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah diadakan di Pusat Islam baru-baru ini.

Program tersebut turut mendapat perhatian Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria yang hadir sepanjang program yang menerima penyertaan bukan sahaja daripada komuniti kampus tetapi juga komuniti setempat ini, berlangsung.

Beliau ketika diminta mengulas akan program tersebut berkata, penyertaan setiap daripada warga kampus dalam aktiviti hari ini juga adalah pengorbanan, sesuatu yang sering kita dengar dan kaitkan sejak dari peristiwa Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail lagi.

DSC 0494

Apatah lagi kata beliau, mereka bukan sahaja berkorban tenaga sepanjang hari dalam melaksanakan aktiviti tahunan ini, malah mereka juga telah mengorbankan masa bersama keluarga tersayang ketika hadir dan seterusnya melibatkan diri dalam program secara gotong royong semua ini.

Malah, mereka ini turut hadir sebagai sebahagian daripada masyarakat yang besar, menjadi individu yang sanggup berkorban demi mewujudkan suasana yang harmoni melalui sikap tolong menolong dalam meringankan tugas satu sama lain ketika proses sembelihan serta agihan dijalankan.

 DSC 0519

Menurut Penolong Pengarah Kanan Pusat Islam Kampus Kejuruteraan, Ustazah Nor Fadhilah Wahab pula, secara kesuluruhan, seramai hampir 70 orang ahli jawatankuasa yang terdiri daripada kakitangan dari pelbagai jabatan, sukarelawan dan individu luar telah dijemput secara khas dalam membantu proses melapah.

Manakala daripada 14 ekor lembu yang dikorbankan, seekor daripadanya adalah infaq daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Perlis, Kedah dan Pulau Pinang yang disumbangkan untuk tujuan korban kakitangan dari kalangan B40 yang belum pernah melaksanakannya sebelum ini.

 DSC 0541DSC 0548

Pemilihan peserta pula telah dilakukan oleh Jawatankuasa Ibadah Qurban Peringkat Kampus Kejuruteraan di mana tiga staf kontrak cucian serta staf tetap; tiga pelajar asnaf faqir dan seorang ahli qaryah berdekatan akhirnya terpilih.

Dari segi agihan, Ustazah Fadhilah menyatakan bahawa hampir 400 kg daging telah diagihkan kepada lebih kurang 260 penerima bahagian sedekah yang terdiri daripada 212 orang staf gred 14 ke bawah, staf kontrak cucian dan pelajar antarabangsa dengan kadar 1.5 kg daging seorang.

DSC 0589DSC 0589

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman