USM-JKR LANCAR PROJEK TANGKI AIR BAHARU, JAMIN KESEJAHTERAAN WARGA KAMPUS
NIBONG TEBAL, 20 Ogos 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) hari ini telah melancarkan projek tangki air baharu yang dijangka memberi impak besar terhadap kesejahteraan warga kampus, khususnya dalam memastikan bekalan air yang berterusan dan mencukupi.
Majlis penyerahan projek ini disempurnakan oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin, yang menegaskan pentingnya penambahbaikan infrastruktur air di sesebuah institusi pengajian tinggi.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan bahawa komitmen terhadap penambahbaikan infrastruktur air adalah langkah penting dalam menjadikan kampus sebagai tempat yang selamat, selesa, dan kondusif untuk pembelajaran.
Beliau turut memaklumkan bahawa masalah tekanan air rendah yang berlarutan hampir 10 tahun di kampus ini kini akan berjaya diselesaikan melalui pelaksanaan tangki air baharu yang mempunyai kapasiti 1.5 juta liter dengan tangki sedut tambahan berkapasiti 790,000 liter air.
"Tangki air setinggi 30 meter ini dilengkapi dengan dua pam berkecekapan tinggi, yang mampu menampung keperluan air bersih untuk 3,900 penghuni kampus.
“Ini merupakan satu pencapaian penting dalam memastikan kelancaran operasi harian, pengajaran, penyelidikan, dan aktiviti lain di kawasan kampus seluas 364.9 ekar ini," ujar beliau.
Di samping itu, beliau turut memuji kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Kerja Raya (JKR), dan pihak universiti yang membolehkan projek ini disiapkan lebih awal dari tarikh jangkaan.
“Kejayaan ini adalah bukti bagaimana sinergi antara agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi mampu menghasilkan impak yang signifikan yang bukan sahaja memberikan manfaat kepada kesejahteraan warga kampus, tetapi juga merupakan satu bentuk amal jariah yang berpanjangan,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Dato' Ir. Ahmad Nadzri Abdul Majid dalam ucapan beliau memamklumkan bahawa projek ini pada awalnya dijadualkan siap pada 26 Ogos 2024 akan datang.
“Namun demikian, projek dengan kos RM6.15 juta ini telah berjaya disiapkan sebulan lebih awal iaitu pada 30 Julai 2024 yang lalu tanpa lanjutan masa (EOT),” kata beliau.
“Tahniah saya ucapkan kepada pasukan dari JKR, wakil Pegawai Penguasa, Kontraktor, Pelanggan dan semua pihak yang terlibat.
“Kami di JKR pula akan sentiasa komited dengan tugas yang diamanahkan dan sedaya upaya melaksanakan projek dengan tekun dan teratur demi kepuasan semua!” tambah beliau.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Muhammad Taufik Abdul Rahman