跳至主要内容

MAJLIS PENYERAHAN DAN AKUAN TERIMA NOTA SERAH TUGAS ZAINAL–FARHAN

There is no translation available.

Teks: Mohd Kamil Ashar (该邮件地址已受到反垃圾邮件插件保护。要显示它需要在浏览器中启用 JavaScript。)
Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin (该邮件地址已受到反垃圾邮件插件保护。要显示它需要在浏览器中启用 JavaScript。)

Pengarah Farhan 9303

NIBONG TEBAL, 29 Disember 2015 – Majlis Penyerahan dan Akuan Terima Nota Serah Tugas antara Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak (kiri) kepada Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah (kanan) disaksikan oleh Jawatankuasa Pengurusan Kampus Kejuruteraan (JPKK) di Bilik Mesyuarat Pejabat Pengarah, di sini hari ini.

Menurut Zainal Arifin yang kekal memegang jawatan Pengarah, Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC) berkata, beliau yakin Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam itu akan dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik.
 
“Saya mendoakan beliau mendapat kerjasama dari semua pihak terutama warga Kampus Kejuruteraan dalam meneruskan agenda universiti”, katanya yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat kelapan JPKK itu.
 
“Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada semua warga Kampus Kejuruteraan yang telah memberikan kerjasama yang tidak berbelah bagi sepanjang tempoh saya memikul tanggungjawab selaku Pengarah”, ujar Zainal Arifin yang telah menyumbang baktinya menerajui kampus selama tempoh tiga tahun.
 
Beliau turut menzahirkan rasa syukur di atas pencapaian dan kecemerlangan yang telah ditunjukkan oleh Kampus Kejuruteraan yang sentiasa terkehadapan dalam memberikan sumbangan berimpak tinggi seterusnya menjulang prestasi universiti.
 
Dalam masa yang sama, katanya, sebagai manusia kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan dan ekoran itu beliau memohon berbanyak kemaafan sekiranya terdapat kesilapan dan kekurangan semasa menjalankan tanggungjawab tersebut.
 
Sementara itu, Pengarah Kampus baharu, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, pelantikan tersebut merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang besar kerana beliau diberi tanggungjawab memegang dua jawatan penting iaitu kekal sebagai Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam selain Pengarah Kampus yang juga diberi penjenamaan semula jawatan sebagai Penolong Naib Canselor.  

Ditanya perasaan beliau setelah diberi kepercayaan mengetuai kedua-dua PTJ tersebut, beliau memberi jawapan spontan, “Semoga Allah membantu saya dan kita semua”.
 
Menurut Ahmad Farhan, USM memang tiada alternatif selain daripada berusaha untuk menjadi lebih berkesan dalam pengurusan kewangannya demi menghadapi pelbagai cabaran besar pendidikan tinggi masa hadapan.  
 
“Dua dimensi yang perlu dilihat adalah penjanaan hasil pendapatan yang baharu dan penggunaan kewangan yang lebih berkesan. Keduanya membawa falsafah "do more with less" yang mendorong kita semua supaya lebih efisien, efektif dan accountable”, tegasnya.
 
“Dalam masa yang sama, potensi menjana kewangan sendiri juga diperlukan dan saya yakin setiap pusat pengajian kejuruteraan berupaya melakukannya dengan berkesan”, jelas Ahmad Farhan.
 
“Kekuatan Kampus Kejuruteraan adalah semangat kekeluargaan dan kerjasama yang tinggi dan ini perlu ditingkatkan lagi”, tambahnya.  
 
Menyokong RUKUN NILAI USM yang baharu diperkenalkan oleh Naib Canselor, beliau memasang keyakinan bahawa ia dapat membantu meningkatkan bukan sahaja KPI malahan dari sudut KIP seluruh masyarakat USM.  
 
“Pendekatan seimbang yang memaksimumkan potensi semua di Kampus Kejuruteraan juga penting kerana tidak ada seorang individu atau PTJ yang hebat dalam semua perkara. Oleh itu, bagi saya kekuatan dan sistem sedia ada perlu diperkemaskan dan kelemahan yang ada perlu diperbaiki”, katanya lagi.
 
Menyentuh tentang cabaran yang bakal ditempuhi, Ahmad Farhan berkata, setiap pelantikan membawa cabarannya yang tersendiri.
 
“Apa yang penting semua dilantik menerima amanah yang diberi, perlu bijak menjalankan tugas dalam memberikan hasil yang diingini untuk PTJ dan USM”.  
 
Tambahnya, “yang pasti insya-Allah, komuniti kampus kejuruteraan akan saling bantu membantu”.
 
Menambah mengenai cabaran, beliau berkata apa yang dihadapi USM perlu difahami semua warga kampus,  dan semua perlu memainkan peranan supaya kita bersatu hati,  mempunyai tekad dan sasaran yang sama dan yang paling penting ialah penghayatan dan mengamalkan Rukun Nilai USM supaya kita kekal fokus dan bekerja dalam sebuah pasukan yang berkesan.  
 
Mengakhiri temubual, beliau memohon supaya semua pihak mendoakan kesejahteraan warga Kampus Kejuruteraan dan Universiti Sains Malaysia umumnya.
 
Selain itu, tiada kata-kata yang dapat diungkapkan kepada mantan Dekan melainkan ucapan terima kasih yang menggunung di atas curahan bakti dan keringat sehingga berjaya menyerlahkan Kampus Kejuruteraan ketahap yang amat membanggakan sebagai sebuah gedung ilmu yang tersohor dalam disiplin kejuruteraan bukan sahaja pada peringkat domestik malah antarabangsa.
 
Mereka yang dimaksudkan ialah Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteran Bahan dan Sumber Mineral, Profesor Dr. Hanafi Ismail, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Dr. Mohd Zaid Abdullah danPusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Profesor Dr. Zaidi Mohd Ripin.
 
Antara Dekan yang kekal di Kampus Kejuruteraan ialah Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Profesor Dr. Mohd Zulkifly Abdullah, Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin dan Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam yang juga Pengarah Kampus itu sendiri, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
 
Turut kekal menggalas tanggungjawab membawa Kampus Kejuruteraan menjadi sebuah institusi penyelidikan yang lebih cemerlang pada masa hadapan ialah Pengarah, Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai & Saliran Bandar (REDAC), Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria.
 
Antara muka baharu yang dilantik sebagai Dekan ialah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Profesor Dr. Mohd Rizal Arshad, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral Profesor Dr. Zuhailawati Hussain dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Profesor Dr. Zainal Alimuddin Zainal Alauddin.