PPKBSM ANJUR MAJLIS SYARAHAN UMUM PELANTIKAN DUA PROFESOR
Teks: Norafiza Osman (
Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin (
NIBONG TEBAL, 9 Disember 2015 – Lebih 500 kakitangan dan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) menghadiri Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor Ir. Dr. Cheong Kuan Yew dan Profesor Dr. Hazizan Md Akil anjuran Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral di Auditorium, Kampus Kejuruteraan, USM di sini semalam.
Kedua-dua profesor ini merupakan kakitangan akademik yang pernah dinobatkan sebagai Top Research Scientist Malaysia (TRSM) yang dianugerahkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) atas sumbangan signifikan dalam bidang penyelidikan.
Dalam majlis syarahan yang bertajuk "Saput Nipis: Sains, Teknologi dan Kejuruteraan untuk Mengatasi Krisis Tenaga", Cheong Kuan Yew berkata, perkembangan industri, pertumbuhan populasi dunia dan perubahan gaya hidup manusia telah mengakibatkan peningkatan penggunaan tenaga yang mendadak terutamanya tenaga elektrik yang lazimnya dijanakan daripada bahan-bahan pembakaran fosil seperti minyak petrol yang dikategorikan sebagai sumber yang tidak boleh diperbaharui.
"Disebabkan ketidakseimbangan kadar penggunaan dan kadar penghasilan ini mewujudkan krisis tenaga yang perlu diatasi segera iaitu dengan pelaksanaan penggunaan sains, teknologi dan kejuruteraan saput nipis”, jelas Cheong.
Tambahnya lagi, hasil kajian hanya tertumpu kepada dua aspek iaitu penggunaan saput nipis oksida logam untuk dijadikan komponen penting dalam penghasilan peranti berkecekapan tinggi yang dapat menjimatkan tenaga semasa proses penukaran sumber hijau kepada tenaga elektrik dan penggunaan bahan kejuruteraan yang berinspirasikan alam semula jadi yang mesra alam serta diperbaharui seperti ekstrak tumbuhan Aloe Vera untuk tujuan aplikasi elektronik.
Beliau mula berkhidmat di USM sebagai kakitangan akademik di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral pada tahun 2004 setelah tamat pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Mikroelektronik di Griffith University, Austalia dan dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor pada tahun 2014.
Sementara itu, dalam majlis yang sama, Profesor Dr. Hazizan Md. Akil telah mengupas tajuk "Bahan Komposit Polimer: Gentian Kenaf Sebagai Pemangkin Kelestarian Teknologi Komposit Mesra Alam" yang mempunyai kelebihan berbanding bahan logam dipersekitaran yang mengakis disebabkan sifat rintangan kakisan yang tinggi terhadap ejen-ejen kakisan seperti air, hidrogen dan oksigen.
"Penggunaan gentian semula jadi terutamanya kenaf yang boleh didapati di Malaysia dilihat mampu untuk menggantikan gentian kaca bagi penghasilan komposit polimer diperkuat gentian dengan menggunakan kaedah pultrusi", jelas Hazizan.
Jelas beliau lagi, teknologi pultrusi dilihat semakin berkembang di Malaysia dan jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain, teknologi ini telah lama digunakan seperti jambatan dan monumen-monumen arkitek di Amerika Syarikat serta negara-negara Eropah.
Hazizan mula berkhidmat di USM sebagai kakitangan akademik di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral pada tahun 2002 setelah tamat pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Impak Mekanik Untuk Bahan Komposit di University Of Liverpool, United Kingdom, Britain dan dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor pada tahun 2012.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian jambangan bunga daripada ahli keluarga, rakan industri dan pusat pengajian serta lawatan pameran di Foyer Auditorium.
Turut hadir dalam majlis syarahan umum tersebut ialah Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak, dekan-dekan pusat pengajian dan pegawai-pegawai universiti.