BEKERJA SEPERTI SATU KELUARGA KATA AHMAD FARHAN
NIBONG TEBAL, 2 Mac 2016 – Penolong Naib Canselor, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, hari ini, menyampaikan taklimat kepada semua wakil persatuan dan kelab, Kampus Kejuruteraan bertempat di Dewan Kuliah 11, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM).
Sebanyak 35 wakil kelab dan persatuan hadir dan berjaya mengumpulkan seramai 82 pelajar lain pada sesi perjumpaan tersebut.
Menurut Ahmad Farhan, pelajar perlu bekerja bersama-sama seperti satu keluarga bagi melaksanakan program-program besar seperti Career Fair yang mempunyai kekuatannya sendiri.
“Saya kira, Career Fair boleh dijadikan sebagai satu tanda aras kepada kita kerana ia telah memberi impak yang jelas dan berjaya dilaksanakan dengan begitu baik sekali dalam tempoh 10 tahun ini”, katanya.
Jelas beliau, pelajar perlu membiasakan diri menjadi seorang pemimpin yang hebat dalam pengurusan kewangan, pengurusan program, kerjasama dalam program dan kepimpinan yang boleh melibatkan kesemua pelajar di Kampus Kejuruteraan.
Sementara itu, Ketua Unit, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Kampus Kejuruteraan, Nur Akmar Idris berkata, terdapat 94 kelab dan persatuan untuk tahun 2015 yang aktif dan menjalankan pelbagai program.
“HEPA bertanggungjawab sepenuhnya dalam menguruskan kesemua perancangan aktiviti persatuan seterusnya memastikan ianya dijalankan mengikut undang-undang ditetapkan dan tidak melanggar peraturan serta polisi universiti”, kata Nur Akmar.
Tambah Nur Akmar, pihaknya bertanggungjawab memantau segala aktiviti pelajar dan perjalanan program serta terlibat secara langsung dalam aktiviti yang dijalankan.
HEPA turut bertanggungjawab menyemak kertas kerja bagi setiap permohonan projek dan bertindak sebagai penasihat kepada semua persatuan dan kelab.
Teks: Norafiza Osman / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin