跳至主要内容

MODUL BARU PIMPIN SIWA LESTARI 1 DI KEJURUTERAAN BERJAYA

There is no translation available.

PSL 5099

NIBONG TEBAL, 14 September 2015 – Modul World Café untuk Program PIMPIN Siswa Lestari 1 di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 11 September 2015 yang lalu berjaya dilaksanakan dengan sesi majlis penutup di sini semalam.

PSL 5051

Menurut Pengarah Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Dr. Nazarudin Zainun berkata modul tersebut dirangka untuk memastikan pelajar supaya dapat berfikir secara global dengan menerapkan konsep antarabangsa yang dapat mendedahkan mereka kepada ruang lingkup yang lebih luas.

“Saya lihat, program yang bermula dengan sesi taaruf ini dapat mewujudkan komunikasi yang baik antara satu sama lain dan akhirnya melahirkan satu persamaan tanpa mengira kaum, agama dan bangsa”, katanya ketika merasmikan majlis penutup program di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan.

“Anda perlu berubah supaya apabila tamat pengajian kelak anda akan keluar bukan sahaja sebagai mahasiswa lokal malah sebagai mahasiswa glokal”, katanya lagi.

Tambahnya, World Café merupakan konsep terbaru yang digunakan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan diterapkan dalam modul PIMPIN Siswa Lestari 1 untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam masyarakat dan kawasan sekitar.

Tegasnya, modul qolbu dan soft skill sebenarnya dapat mendidik pelajar supaya menapis dan menilai terlebih dahulu sebarang maklumat yang diterima sebelum menyebarkannya.

“Manakala, konsep tertentu yang diterap dalam program dapat menonjolkan pelbagai kategori manusia seterusnya dapat menilai kepimpinan seseorang”, kata Nazarudin.

PSL 5005

Sementara itu, Ketua Exco dan Penajaan Program Pimpin Siswa Lestari 1, Kampus Kejuruteraan, Sidang Akademik 2015/2016, Khairul Shazwan Pelawang, 20, berkata ia memberikan satu cabaran besar kepada mereka dalam mengendalikan modul baru tersebut.

“Secara keseluruhan, penerimaan pelajar sangat baik terhadap tiga cabang utama World Café iaitu kelestarian, keusahawanan dan inovasi kerana mereka tidak pernah melalui modul sebelumnya”, ujar Khairul Shazwan.

“Dalam pemerhatian saya, fasilitator telah memberikan kerjasama yang baik walaupun masing-masing masih belajar mengendalikan modul baru ini dan mereka lebih bersemangat melaksanakannya”, ujarnya lagi.

PSL 5002 Tan

Dalam temubual ringkas dengan pelajar, Tan Aik Kwan, 20, menyatakan pandangannya bahawa program yang dilaksanakan memberi banyak manfaat kepada pelajar supaya berfikir secara logikal.

“Setiap pelajar dengan bersungguh-sungguh berusaha memikirkan idea yang sama dan berusaha untuk mencapai idea tersebut”, kata pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa itu.

“Walau bagaimanapun, kami hanya menggunakan persepsi dan andaian sahaja kerana kekurangan sumber atau data yang tepat”, katanya lagi.

PSL 5008

Selain itu, bagi pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Nurdiyana Syazni Sharin, 19, turut bersetuju dengan pendapat rakannya itu iaitu program tersebut dapat menonjolkan sifat kepimpinan sesorang dan memupuk nilai murni antara kaum Melayu, Cina dan India.

“Apa yang saya pelajari dari program ini adalah displin masa yang sangat penting untuk memastikan projek yang dicadangkan berjaya dilaksanakan”, katanya.

“Harapan saya supaya program ini dapat diteruskan lagi pada setiap sidang kerana idea akan berkembang selari dengan teknologi yang sentiasa diperbaharui”, tambah Nurdiyana Syazni.

Seramai 40 orang fasilitator dalam kalangan pelajar dan 12 orang staf berganding bahu dan bekerjasama dalam memastikan kelancaran Program Pimpin Siswa Lestari 1 di Kampus Kejuruteraan ini berjalan lancar.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin