Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

KEKAYAAN DARIPADA SISA @ "WASTE TO WEALTH"

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)
Foto: Muhammad Firdaus Khirudin (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)

PUTRAJAYA, 3 Disember - Projek di bawah kategori industri iaitu "3 in 1 Thermochemical Conversion Process System (Torrefaction, Pyrolysis, and Gasification) for Biomass" adalah projek yang mendatangkan kekayaan daripada bahan sisa.

Demikian diberitahu oleh ahli projek, Dr. Mohamad Yusof Idroas, bagi projek Pemindahan Ilmu (KTP) itu ketika Persidangan Antarabangsa Pemindahan Ilmu (ICKT) 2015 yang diadakan di sini.

Katanya, projek ini merupakan satu projek pemindahan ilmu berkenaan teknologi penukaran sumber dari biojisim mentah yang terabai atau dibuang seperti kulit getah, tempurung kelapa atau hampas kelapa sawit kepada sumber bahan api (solid fuel) yang amat berguna dengan proses pembakaran dengan nilai pemanasan tinggi sekitar HHV kadar 20-25 MJ/kg.

"Proses penukaran ini dilaksanakan dengan menggunakan proses termo-kimia apabila sumber biojisim mentah dipanaskan dengan kawalan suhu di antara 200 ke 300 darjah celcius untuk menjadi bahan biojisim yang telah dikarbonisasi," jelasnya.

Tambahnya lagi, bahan biojisim yang telah dikarbonisasi boleh diproses menjadi briket yang boleh dipasarkan kepada industri sebagai sumber bahan api.

Teknologi ini telah dibangunkan oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik Universiti Sains Malaysia (USM) dengan sistem termo-kimia menggunakan "screw feeder & extruder" secara berterusan dengan kapasiti pengeluaran yang tinggi iaitu 200 kg/jam dan ini ialah sistem yang pertama dibangunkan di Malaysia.

Mengulas lanjut, Yusof berkata, industri akan mendapat banyak manfaat daripada projek pemindahan ilmu ini yang mana mereka dapat mempelajari teknologi ini dari segi pengendalian operasi sistem, pembuatan sistem termo-kimia dan juga keuntungan hasil daripada penjualan sistem atau produk biojisim yang telah dikarbonisasi sebagai sumber bahan api.

"Matlamat kami agar pemain utama industri dalam bidang tenaga diperbaharui seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat menerima biojisim sebagai sumber bahan api yang setaraf pentingnya dari segi kualiti dan produktiviti (supply chain) dengan arang batu.

"Jaringan (networking) telahpun dibuat dengan pihak penyelidikan TNB serta Pilot Plant boleh dibangunkan oleh pihak industri di tapak mereka untuk menyokong kepentingan serta keuntungan boleh dihasilkan dan sekiranya ini berlaku, matlamat kerajaan untuk menambah peratus sumbangan tenaga biojisim terhadap sumbangan tenaga diperbaharui negara boleh dicapai," tambahnya.

Bagi pihak komuniti seperti peladang, penoreh getah dan sebagainya, konsep "waste to wealth" akan menguntungkan mereka yang mana bahan biojisim terabai atau terbuang mempunyai nilai komersial untuk merealisasikan perkara di atas.

Antara ahli kumpulan lain projek ini ialah Prof Dr. Zainal Alimuddin Zainal Alauddin, Prof Madya Dr. Mohd Azmier Ahmad, Muhamad Azman Miskam, Mohammad Zulfikar Ishak dan Mohd Fadzli Hamid dari USM.