Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

ANUGERAH UEM 2015 MILIK ANAK PENIAGA SARUNG KAKI

Teks & Foto: Mohd Kamil Ashar

UEM 2013

KUALA LUMPUR, 14 Disember 2015 – Kekurangan dan kesederhanaan hidup tidak menjadi penghalang kepada anak seorang peniaga sarung kaki untuk cemerlang dalam pengajian sekali gus melayakkannya dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan UEM 2015 dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di The Odyssey, Level 7, Mercu UEM, KL Sentral di sini hari ini.

Menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.78, Chuah Wei Hoong, 24, siswazah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 beserta sijil.

Berbekalkan projek tahun akhir bertajuk Investigation On Hydrophobic Coating For Better Functionality and Durability dengan objektif untuk membentuk persekitaran lapisan hidrofobik mesra dengan pelbagai fungsi, seperti pembersihan diri, ketelusan yang baik dan ketahanan jangka panjang telah membawa tuah kepada Chuah pada tahun ini.

Menurut anak jati Pulau Pinang itu, beliau bersyukur dan amat berterima kasih kepada pihak USM terutamanya kepada program rancangan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar dan penyelia projek,  Profesor Ir. Dr. Srimala Sreekantan yang banyak memberi tunjuk ajar dan dorongan serta memberi peluang kepadanya mewakili pusat pengajian seterusnya bersaing dengan calon lain.

“Saya tidak menyangka bahawa saya merupakan penerima anugerah ini kerana peserta-peserta lain juga tidak kurang hebatnya”, kata Chuah yang merupakan anak kedua daripada dua beradik itu.

“Ini merupakan satu kenangan dan pencapaian yang sangat membanggakan bagi saya dan keluarga sebelum menamatkan pengajian selama empat tahun di USM”, katanya.

EUM 2046

Tambahnya, “Sejak kecil, melihat ibu bapa bekerja keras untuk menyara keluarga membuatkan saya sentiasa berdikari dalam pelajaran dan apa jua bidang yang diceburi agar mereka tidak perlu bimbang mengenai kerjaya dan kehidupan saya kelak”.  

“Saya yakin sekiranya kita rajin belajar dan berusaha bersungguh-sungguh pasti kejayaan menjelma jua seterusnya dapat memberikan kehidupan yang lebih baik kepada mereka”, tambahnya lagi.

Ditanya mengenai resepi kejayaan, Chuah yang kini bertugas sebagai jurutera proses di Keysight Technologies Malaysia Sdn. Bhd., Pulau Pinang berkata, berani mencuba dan sekiranya inginkan sesuatu, kita pasti akan berjaya dan mendapat hasilnya, asalkan kita mempunyai azam yang kuat dan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Jelas cahaya mata kepada pasangan Chuah Hoot Sew, 63 dan Yeoh Saw Kin, 56, beliau ingin menimba pengalaman terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana.

UEM 1962

Sementara itu, menurut pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan & Sumber Mineral, Profesor Ir. Dr. Srimala Sreekantan turut melahirkan rasa bangga dengan kejayaan Chuah yang sekali gus turut mengharumkan nama USM.

“Saya sentiasa menggalakkan pelajar saya untuk melibatkan diri dalam aktiviti luar dan bukan hanya menumpukan kepada pelajaran sahaja“, ujar Srimala yang juga merupakan penyelia projek tahun akhir pelajar cemerlang itu.  

“Bagi saya, penglibatan mereka dengan program dan ativiti luar dapat membantu mereka mengenali erti kehidupan dan menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat seterusnya merupakan persediaan kearah mencapai kejayaan”, ujarnya.

Menurut Srimala yang juga merupakan salah seorang penerima anugerah Top Research Scientist Malaysia (TRSM) baru-baru ini, mengharapkan supaya setiap mahasiswa dapat menyumbang idea dan melakukan sesuatu yang boleh memberi faedah kepada komuniti.

UEM 1952

Timbalan Dekan (Akademik), Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan & Sumber Mineral, Prof. Madya Ir. Dr. Syed Fuad Saiyid Hashim turut bersetuju dengan Srimala dan menyeru supaya pensyarah lain juga mempunyai inisiatif dan mengambil peluang seperti ini dengan menawarkan projek-projek yang berkaitan dengan penaja.

“Pusat Pengajian amat berbangga dengan pencapaian ini dan semoga ia berterusan untuk bidang-bidang yang lain juga”, kata Syed Fuad yang hadir mewakili Dekan.

UEM 2036

Anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, UEM Group Bhd., Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali.

Hadir sama meraikan kejayaan itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan, UEM Group Bhd, Dato’ Izzaddin Idris, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak dan wakil-wakil dari universiti terlibat.