Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PENYELIDIK MUDA USM TEMPA NAMA DI ROMANIA

Remy-01

NIBONG TEBAL, 26 Mei 2015 - Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi menempa nama di peringkat antarabangsa apabila meraih lima anugerah dalam pertandingan EUROINVENT 2015 yang berlangsung di Pallas Mall, Lasi, Romania pada 14 hingga 16 Mei 2015 lalu.

Pasukan yang terdiri daripada pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Dr. Mohd Remy Rozainy Mohd Arif Zainol dan pelajar tahun empat pusat pengajian itu, Muhamad Nasran Nasehir Khan berjaya meraih Gold Medal, Special Award (Turki) dan Special Recognition (Erika Power System, Romania) bagi produk Integrated Smart Traper System (InSmarTS).

Remy-02

Menurut Mohd Remy yang juga merupakan penyelidik bersekutu di CEGeoTech, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata projek tersebut adalah perangkap sampah yang berfungsi untuk memerangkap sampah di sungai atau parit.

Katanya, kejayaan produk ini turut mendapat khidmat nasihat dan kepakaran pensyarah berpengalaman pusat pengajian yang sama iaitu Profesor Dr. Ismail Abustan.

“Pencapaian yang diterima ini adalah daripada kegigihan penyelidik bersama, pelajar yang terlibat dan pihak pusat pengajian serta sokongan daripada universiti’’ jelasnya.

Remy-03

Turut menambah pingat dalam pertandingan itu, produk yang diberi nama Dynamic Flexible Seismic Source for Shallow Seismic Survey (DyFlexSeiS) dengan meraih dua lagi anugerah iaitu Silver Medal dan Special Award (Korea).

Tambah Mohd Remy, kajian mengenai produk kedua itu diketuai oleh rakan baik beliau iaitu Dr. Mohd Ashraf Muhamad Ismail dan dibantu beberapa penyelidik bersama lain dalam kalangan pensyarah dan pelajar. Mereka yang dimaksudkan adalah Prof. Madya Dr. Taksiah A. Majid, Fadzli Mohamad Nazri, Ng Soon Min, Tan Chee Ghuan, Rais Yusoh, Ahmad Halmi Ghazali dan Mohd Taib Yaacob.

“Penganjuran pertandingan inovasi ini adalah merupakan suatu penganjuran inovasi yang terbesar pernah di anjurkan di Timur Eropah”, kata penyelidik muda yang ditemui disini semalam.
Lebih 500 peserta dari dalam dan luar Romania menyertai pertandingan ini antaranya tuan rumah Romania, United Kingdom, Poland, Hungary, Korea, Taiwan, India, Iran, Turki, Malaysia dan banyak lagi.

Remy-04

Sementara itu, deligasi Malaysia pada kali ini deketuai oleh Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Madya. Dr. Mustafa Al Bakri Abdullah dengan bilangan peserta seramai lebih 20 orang bagi mewakili Negara.

Teks : Mohd Kamil Ashar / Foto: Ehsan Dr. Mohd Remy Rozainy Mohd Arif Zainol