Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

39 MAHASISWA KEJURUTERAAN SERTAI BENGKEL INISIATIF BEBAS TEMBAKAU

MySihat 01

NIBONG TEBAL, 4 November 2015 – Seramai 39 mahasiswa dari Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengikuti Bengkel Inisiatif Bebas Tembakau (BIBT) Siri 12/2015 di Sedim Eco Resort, Kulim, Kedah, baru-baru ini.

Bengkel berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober sehingga 01 November 2015 itu, dihadiri pelajar tahun satu hingga tahun tiga.

Menurut Pegawai Farmasi Kanan, Pusat Racun Negara (PRN), Puan Adilah Mohamed Ariff berkata di antara 10% hingga 12% kematian berpunca daripada amalan merokok di Malaysia.

“Penggunaan produk tembakau adalah satu-satunya penyebab yang menyumbang kepada kematian yang boleh dicegah”, katanya yang juga merupakan penceramah pertama bengkel.

“Tabiat merokok juga merupakan faktor penyebab kematian seorang individu daripada dua orang individu sekiranya ia merokok selama 40 tahun dan dua orang individu daripada empat orang individu yang merokok selama 20 tahun”, katanya lagi.

Tambahnya, program yang dianjurkan sangat baik dalam melatih pelajar-pelajar tentang bahayanya rokok dan memberi kesedaran dan pendedahan kepada pelajar tentang hak-hak mereka sekiranya terdapat kawan-kawan atau orang awam yang merokok di kawasan larangan merokok.

Sementara itu, Pegawai Farmasi Kanan, Encik Halilol Rahman Mohamad Khan berkata terdapat pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan bagi perokok yang ingin berhenti merokok atau merawat ketagihan merokok.

“Antara perkhidmatan yang disediakan oleh KPM adalah klinik berhenti merokok dan rawatan pemulihan kepada perokok yang ingin berhenti merokok agar megekalkan status tidak merokok”, jelasnya lagi.

Peserta bengkel turut diberi tugasan iaitu menyediakan empat projek secara berkumpulan berkaitan dengan inisiatif bebas tembakau dan akan dipertandingkan di peringkat universiti.

Teks & Foto: Norafiza Osman