Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PALAPES UDARA DARI ENAM UNIVERSITI AWAM BAKAL BERKAMPUNG DI KAMPUS KEJURUTERAAN

PALAPES DSC3594

NIBONG TEBAL, 16 November 2016 – PALAPES Udara dari enam universiti awam bakal berkampung selama 15 hari bagi menyertai Latihan Kem Tahunan Palapes Udara Universiti Awam (UA) Tahun 2017 dari 16 hingga 30 Januari tahun hadapan di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein berkata setakat ini seramai 825 pegawai kadet mewakili Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UITM) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Universiti Malaysia Perlis (UMP) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) telah mengesahkan penyertaan.
 
“Ini bukanlah kali pertama USM menjadi tuan rumah kepada program seumpama ini dan pada siri ini Kampus Kejuruteraan telah dipilih sebagai lokasi latihan”, katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana bersama Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) di sini hari ini.
 
 “Universiti mengalukan kehadiran semua peserta dan mesyuarat pada hari ini adalah untuk tujuan penyelarasan dan menyesuaikan perkara-perkara yang berkaitan bagi melicinkan program yang bakal dilaksanakan pada awal tahun hadapan”, tambahnya.
 
PALAPES DSC3578

Menurut Adnan, dengan sokongan dan kerjasama Penolong Naib Canselor yang juga merupakan Pengarah Kampus, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah serta penyelarasan dan perancangan yang teratur dapat memudahkan perjalanan program kelak.
 
Jelasnya, segala permasalahan dan sebarang isu yang timbul perlu diselesaikan dengan cara terbaik dan mesyuarah.
 
Sementara itu, Ahmad Farhan pula berkata latihan ini merupakan peluang baik untuk warga kampus menjalinkan hubungan erat dengan pihak tentera udara.
 
“Dengan menganjurkan program seperti ini, boleh membawa banyak peluang kepada warga kampus terutama dalam mempromosikan universiti khususnya bidang kejuruteraan”, katanya.
 
“Kita bersedia membantu perjalanan program dengan penglibatan dua pihak iaitu stakeholder yang melibatkan penginapan, unit sukan, Pusat Pembangunan Mahasiswa (PUMA) dan Pusat Kokurikulum”, katanya lagi.
 
Tambahnya, Pejabat Pengarah turut akan membantu dalam menyusun atur program dan merupakan penyelaras kepada pihak pengurusan PALAPES dan USM.
 
Latihan akan melibatkan dua fasa iaitu latihan dalaman dan latihan luar ini akan turut dibantu oleh lebih 100 jurulatih dalam kalangan pegawai PALAPES universiti yang terlibat.  
 
Hadir sama Pegawai Staf 2 Tadbir, Markas Pasukan Simpanan Tentera Udara (MPSTU), Mejar Hashem Jaafar, Pegawai-Pegawai MPSTU, Ajutan-Ajutan Universiti Awam dan Pegawai-Pegawai USM.  
 
 
Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin