Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PERSATUAN SENI SILAT CEKAK KAMPUS KEJURUTERAAN ANJUR KOSSCEM 2017

 DSC7671

NIBONG TEBAL, 22 April 2017 – Persatuan Seni Silat Cekak Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya dalam penganjuran Kolokium Seni Silat Cekak Malaysia 2017 (KoSSCeM' 17).

Kolokium yang dianjurkan buat kali ke-5 ini merupakan aktiviti tahunan persatuan tersebut sejak tahun pertama penganjurannya pada tahun 2013.

Sejumlah 14 penyertaan telah direkodkan untuk pelbagai kertas kerja berasaskan penyelidikan yang berkaitan dengan Seni Silat Cekak Malaysia dan terdiri daripada ahli-ahli Persatuan Ahli Silat Cekak Malaysia (PSSCM).

 DSC7649

Pembentangan yang bertemakan “Kelestarian Ilmu dalam Silat Cekak” pada tahun ini adalah bertujuan untuk mendedahkan seni silat cekak kepada kajian-kajian secara ilmiah dan seterusnya diolah secara bersama oleh para pembentang.

Antara universiti-universiti yang telah mengambil bahagian adalah Universiti Islam Antarabangsa Gombak, Universiti Malaysia Perlis, USM (Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan), Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Teknologi Mara (Perlis dan Pulau Pinang) dan Universiti Utara Malaysia.

Muhammad Rahimi Mat Salim, Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan dan juga merupakan wakil daripada Kampus Kesihatan USM telah dipilih sebagai Pembentang Terbaik keseluruhan.

Kelulusan dan pemilihan setiap kertas kerja yang terpilih ketika pembentangan adalah berdasarkan kriteria yang telah disaring oleh Jabatan Akademik Silat Cekak yang juga merupakan ahli akademik untuk setiap universiti.

Selain daripada itu, Anugerah Kertas Kerja Terbaik berjaya disandang oleh pasukan daripada Universiti Malaysia Perlis yang terdiri daripada Hawa Nur Hidayah Ahmad Soharto, Nur Fateen Supian, Muhammad Akid Haikal Mohamad Rizal dan Ahmad Farhan Ahmad Subhi dengan tajuk Kestabilan Pengamal Seni Silat Cekak (SSCM) ketika Melakukan Pergerakan Buah SSCM.

 DSC7615

 DSC7613

Lebih kurang 200 ahli PSSCM dari seluruh Malaysia telah hadir dan berkumpul dalam program ini dan seterusnya memberikan sokongan kepada Silat Cekak yang telah diasaskan oleh Pemimping Agong Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM), Al Marhum Ustaz Haji Hanafi Haji Ahmad.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman