Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

TAWAN PUNCAK TAHAN SEMPENA ULANG TAHUN KE-50 USM

Mt Tahan 19

JERANTUT, 31 Januari-6 Februari 2019 - Ekspedisi pada kali ini disertai oleh 26 orang peserta yang terdiri daripada sekumpulan staf, pelajar dan alumni Universiti Sains Malaysia (USM). Projek ini juga telah disusun rapi oleh Kelab Pendakian dan Perkhemahan Universiti Sains Malaysia (H.A.C.U.S) untuk merealisasikan misi menawan puncak Gunung Tahan selama 7 hari 6 malam iaitu dari 31 Januari 2019 hingga 6 Februari 2019. Terpikul juga di pundak komrad pendaki dari Kampus Kejuruteraan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Hekarl Uzir dan Kampus Kesihatan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Raja Azman Raja Awang iaitu membawa misi bersama sempena sambutan ulang tahun ke-50 USM.

Gunung Tahan 17

Gunung Tahan, pastinya masing-masing sudah berasa tidak tertahan sebaik mendengarkan namanya sahaja. Terselit perasaan gerun bagi mereka yang tidak pernah sampai ke puncaknya kerana ia merupakan gunung tertinggi di Semananjung Malaysia. Dengan ketinggian 2,187 m, pastinya ia menjanjikan suatu pemandangan dan pengalaman pengembaraan yang luar biasa kepada para pendaki.

Pihak penganjur Ekspedisi Menawan Puncak Tahan 2019, En. Fadzley Hassan atau lebih dikenali dengan panggilan Palie, turut menyatakan bahawa ekspedisi pada kali ini memberikan suatu pengalaman baharu walaupun beliau sudah dua kali menawan puncak gunung ini dan ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk meneruskan program #USMFit di setiap kampus USM.

Gunung Tahan 9

“Gunung Tahan adalah antara puncak tanah tinggi negara ini yang sukar ditawan kerana laluan berliku dan mencabar amat menuntut ketahanan fizikal dan mental setiap pendaki”, tambah beliau lagi ketika ditemui baru-baru ini.

Sebulan membuat persediaan, ekspedisi ini telah diaturkan oleh kru H.A.C.U.S yang mempunyai pengalaman luas dalam dunia pendakian. Pelbagai informasi berkaitan persediaan awal pendakian seperti barang-barang keperluan dan latihan-latihan sebelum memulakan aktiviti pendakian yang tergolong dalam aktiviti sukan lasak telah dikongsikan menerusi Group WhatsApp yang dianggotai oleh 26 orang peserta ekspedisi pada kali ini. Segala perbincangan dan informasi terkini berjalan lancar. Semua peserta telah berkenalan antara satu sama lain menerusi laman sosial maya WhatsApp dimaksudkan sebelum memulakan ekspedisi.

Gunung Tahan 2

Trip pada kali ini lebih tersusun rapi kerana pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) telah mengadakan mesyuarat bagi mengetahui lebih mendalam tentang perjalanan program yang melibatkan pelajar ini dilengkapi perlindungan insurans dan aspek keselamatan kerana bak kata pepatah “Malang tidak berbau”. Justeru, Palie, saudara Hazeem dan saudara Nik Harith telah menjalankan tanggungjawabnya dengan menyediakan kertas kerja dan segala surat-menyurat untuk memastikan dokumen dari segi keselamatan dan kebajikan sosial setiap peserta terjamin dan diisi selengkapnya. Segala penyusunan atur cara program, penyediaan makanan, tempahan jurupandu gunung (guide), pengangkutan, dan pendaftaran serta permit (kebenaran) dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Pahang dilakukan dengan sistematik berpandu pada pengalaman luas yang sedia ada. Segala urusan menjadi lancar dan tiada masalah. Alhamdulillah.

Rentetan Ekspedisi Menawan Puncak Tahan

Rabu, 30 Januari 2019:
Majlis pelepasan dilakukan di Bilik Mesyuarat Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan, USM dan telesidang juga berlangsung antara peserta di Kampus Kejuruteraan dengan komrad pendaki dari Kampus Kesihatan. Majlis pelepasan dimaksudkan telah dirasmikan oleh Prof. Madya Ir. Dr. Syed Fuad Saiyid Hashim, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral yang mewakili Pengarah Kampus, Profesor Nor Azazi Zakaria. Bagi memberkati majlis, Ustaz Khairul Azam Nan@Adnan dari Pusat Islam Kampus Kejuruteraan telah membacakan doa memohon agar ekspedisi ini mendapat rahmat dan lindungan Allah SWT. Dan, perjalanan komrad pendaki dari Kampus Kejuruteraan dan juga komrad pendaki dari Kampus Kesihatan dengan menaiki bas masing-masing ke Kuala Tahan bermula pada pukul 3.00 petang.

Gunung Tahan 1

Khamis, 31 Januari 2019:

Semua peserta dari Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan sampai ke Kuala Tahan pada pukul 2.00 pagi dan berkumpul di dataran Kuala Tahan. Semua peserta berehat sejenak dan pada pukul 6.00 pagi, pembahagian bekalan makanan (ration) telah diagihkan sama rata dengan menggunakan penimbang. Semua peserta bersarapan dan membungkus makanan tengah hari di warung berdekatan Kuala Tahan. Episod pendakian pada hari pertama bermula dengan menaiki bot untuk menyeberangi Sg. Tembeling dan menaiki tangga menuju ke Pintu Masuk Taman Negara Kuala Tahan.

Diingatkan bahawa semua peserta wajib mengisytiharkan segala barang yang dibawa. Setiap barang yang dibawa perlu diisytihar kepada pihak PERHILITAN sebelum melangkah masuk ke Pintu Masuk Taman Negara. Senarai barang seperti plastik, gas memasak, bateri, pakaian, dan barang-barang lain perlu disenaraikan selengkapnya oleh setiap peserta secara individu dalam borang pengisytiharan barang-barang. Ia akan dijadikan panduan untuk memeriksa kembali jumlah semua barang yang dibawa masuk itu akan sama jumlahnya semasa ia dibawa keluar dari hutan nanti. Denda akan dikenakan jika peserta gagal mengisytiharkan barang semasa keluar jika tidak sama atau berkurang dengan barang yang telah diisytiharkan semasa masuk. Sesi ta’aruf bersama guide juga turut diadakan. Guide masing-masing memperkenalkan diri mereka dengan panggilan Engku, Pak Long dan Ateh.

Selepas mendengar taklimat daripada ranjer hutan dan guide, semua peserta memulakan pendakian tepat pukul 11 pagi. Sasaran pendakian pada hari pertama secara santai iaitu menuju ke Kem Melantai dengan jarak 14 km. Alhamdulillah, semua selamat sampai pada pukul 6.00 petang dan semua peserta berehat dan berkhemah.

Gunung Tahan 8

Jumaat, 1 Februari 2019:

Pada hari kedua, semua peserta memulakan pendakian pada pukul 8.30 pagi. Seawal 4.00 pagi, pengorbanan masa tidur dan rehat oleh tukang masak tersohor H.A.C.U.S iaitu En. Rosmanizam menyediakan sarapan dan bekalan makanan tengah hari kepada semua peserta. Dan begitulah rutin beliau dari awal trip sehingga akhir. Episod pendakian diteruskan ke Kem Tengah dan makan tengah hari di situ pada pukul 2.40 petang. Kemudian, pendakian diteruskan sehingga ke Bukit Malang pada pukul 4.40 petang. Tanpa melengahkan masa, semua peserta meneruskan pendakian sehingga ke Kem Tengah pada pukul 9.00 malam dan berkhemah di situ. Perjalanan pendakian terbahagi kepada tiga fasa. Fasa laju, sederhana dan agak lambat. Lambat kerana ada peserta yang mentalnya sudah koyak! Semua peserta letih dan mengantuk. Justeru, pada tika inilah semangat daripada rakan peserta diperlukan demi mencapai misi bersama. Lebih menakutkan dan berisiko diserang haiwan liar apabila najis gajah atau bahasa hutannya dipanggil ‘Orang Besar’ masih basah di tengah-tengah trek dan kawasan kawanan ‘Pak Belang’ atau harimau masih berbau hancing dan ada peserta yang ternampak kesan tapak kakinya yang sungguh besar seperti baru melalui kawasan trek ekspedisi. Oleh sebab itulah awal-awal lagi pihak PERHILITAN melarang pendakian diteruskan pada waktu malam.

Gunung Tahan 3

Sabtu, 2 Februari 2019 :

Pada pukul 8.30 pagi, episod pendakian pada hari ketiga bermula dengan suatu pengalaman baharu bagi yang baru berjinak-jinak dengan dunia pendakian. Guide juga banyak berkongsi ilmu tentang rahsia alam seperti khasiat tumbuh-tumbuhan seperti Tongkat Ali, Pasak Bumi, Daun Serai Hutan, Sawi Gunung dan selok-belok hutan yang lain. Sepanjang perjalanan pada hari ini semua peserta terpaksa meredah enam batang anak sungai yang arusnya deras untuk sampai ke Kem Teku. Pada episod ini jugalah semua peserta dapat melihat kekuatan fizikal terutama lutut dan kaki apatah lagi mental masing-masing demi menyelamatkan diri dan barang-barang. Dengan menggalas beg berat yang puratanya 20 kg semua peserta terpaksa meranduk ke dalam sungai paras pinggang yang didasarkan berselerakkan batuan licin dan pasir. Justeru, semua peserta dinasihatkan memijak pasir berbanding batu bagi mengelakkan kecelakaan. Syukurlah, tepat pukul 5.30 petang semua peserta sampai dengan selamatnya. Trip pada kali ini sungguh bertuah kerana disertai oleh tukang urut yang bertauliah dari Kampus Kesihatan dan semua peserta yang mengalami masalah berkaitan otot dan sebagainya dapat dibantu dengan urutan hikmat yang mampu mempercepat proses penyembuhannya. Alhamdulillah.

Gunung Tahan 7

Ahad, 3 Februari 2019 :

Pada hari keempat episod pendakian bermula seawal 6.30 pagi. Semua peserta begitu bersemangat memulakan pendakian dari Kem Teku dan terus ke Bukit Sarsi pada pukul 11.20 pagi. Pendakian diteruskan sehingga ke Bukit Dua Cabang dan terus-menerus sehingga ke Kem Pangkin pada pukul 3.00 petang dan berkhemah di situ. Para peserta juga terpaksa menaiki tangga 15 untuk sampai ke Kem Pangkin. Trek ke Kem Pangkin agak mencanak dan pacak. Dan perjalanan yang jauh ini amat meletihkan peserta. Batang dan ranting pokok balak yang tumbang serta batuan yang diselaputi lumut menjadikan laluan semakin sukar dan licin kepada para peserta. Cuaca pula tiba-tiba hujan dan suasana menjadi agak kelam-kabut dan sejuk. Di situ juga dikhabarkan oleh guide terdapat tikus bersaiz besar bermata merah maka segala makanan perlu dijaga dengan rapi. Oleh sebab struktur kawasan di Kem Pangkin berbatuan tajam maka kawasan khemah adalah terhad. Tiba-tiba kru H.A.C.U.S juga digemparkan dengan peserta yang mengalami hypothermia kesejukan. Mujurlah masalah itu dapat diselesaikan dengan segera. Justeru, barang-barang keperluan seperti windbreaker, sleeping bag dan carry mat amatlah diperlukan dalam aktiviti pendakian seperti ini. Sumber air juga sukar diperoleh di sini dan peserta ekspedisi hanya memperoleh air dari lopak-lopak air dan tadahan air hujan sahaja. Aktiviti pendakian menjadi semakin mencabar hari demi hari.

Gunung Tahan 6

Isnin, 4 Februari 2019 :

Seawal 7.00 pagi pendakian pada hari kelima diteruskan dengan jiwa kental dan semangat yang membara dalam jiwa setiap peserta. Pendakian diteruskan ke Kem Gedung. Episod pada hari kelima ini sememangnya mencabar akal budi kerana ada peserta yang mengalami kecederaan seperti tertanggal kuku kaki, luka dan calar kerana duri dan akar pokok yang menjalar. Batang dan ranting kayu balak yang besar dan berlumut telah menghalang laluan sehingga menyebabkan ada peserta yang tersungkur kerana terlalu letih. Namun, pendakian diteruskan sehingga ke Puncak Gunung Tahan. Ada peringkat peserta yang sampai awal, mereka telah siap dengan air panas dan makanan sementara peserta yang mempunyai kudrat yang lebih akan pergi menghulurkan bantuan seperti memikul beg peserta lain dan semua peserta seolah-olah bertindak secara automatik dalam menyelesaikan sebarang masalah yang timbul sepanjang ekspedisi ini berjalan. Dan alhamdulillah semua tiba di puncak pada pukul 8.30 malam. Pada ketinggian 2,187 m, keadaan di puncak pada waktu malam amatlah sejuk sehingga mencecah 15C dan ada peserta tidak mampu menahan kesejukan. Syukurlah semua peserta memainkan peranan masing-masing dan bertindak segera apabila melihat rakan mereka memerlukan bantuan seperti menyalakan unggun api dan memberikan air panas. Setakat ini keseluruhan catatan pendakian berjumlah lebih kurang 55 km. Patutlah ada antara peserta yang melecet dengan teruk, tertanggal kuku kaki, sakit lutut juga sakit otot betis dan paha.

Gunung Tahan 5

Selasa, 5 Februari 2019 :

Pada hari keenam, misi ekspedisi ini telah tercapai apabila semua peserta telah berjaya menawan puncak Gunung Tahan dan ucapan “Selamat Menyambut Ulang Tahun Ke-50 USM!” dilaungkan bersama-sama dengan megahnya. Masing-masing juga dalam hati seperti melaungkan kata keramat, “Lihatlah Dunia, kami semua sudah berjaya menawan puncak Tahan!”. Semua peserta menghabiskan masa agak lama sedikit untuk bergambar kenangan semasa berada di puncak Gunung Tahan. Seterusnya, acara menuruni puncak Tahan dilakukan dengan penuh waspada. Semua peserta bertolak dari Puncak Tahan pada pukul 10.00 pagi dan tiba di Kem Botak pada pukul 11.30 pagi setelah puas beranduk lumpur pekat seperti coklat! Mahu sahaja dijilat jika enak rasanya tetapi sayang seribu kali sayang, rupa sahaja elok baunya busuk! Trek menjadi rosak dan sukar dilalui kerana ramai pendaki dan pelancong yang gemar menggunakan trek Merapoh-Tahan berbanding Kuala Tahan-Marapoh. Sepanjang perjalanan, ramai pendaki yang berselisih dengan para peserta ekspedisi ini dan meluahkan rasa kagum mereka, “Wow, Kuala Tahan-Merapoh, bukan biasa-biasa trip tu!”. Tepat pukul 5.00 petang semua peserta tiba di Kem Kubang.

Gunung Tahan 4

Rabu, 6 Februari 2019 :

Pada hari terakhir iaitu hari ketujuh ekspedisi, setelah seminggu berada di dalam hutan belantara, semua peserta seperti tidak sabar-sabar untuk terus meluru keluar dari hutan. Perjalanan menjadi laju. Yang mengalami kecederaan pun tidak putus-putus menghayunkan langkah mereka tanpa henti. Berbekal semangat kental, semua peserta tiba di Kem Kor pada pukul 11.30 pagi dan perjalanan diteruskan lagi sehingga ke Lata Luis pada pukul 12.30 tengah hari. Semua tidak berputus asa kerana ada yang ingin terus balik untuk mula bekerja dan ada juga yang diulek perasaan rindu menebal kepada ahli keluarga maka semangat untuk menamatkan ekspedisi ini diteruskan dengan lancar sehingga ke Kuala Luis pada pukul 2.30 petang dan alhamdulillah, dengan deraian air mata kegembiraan, semua peserta selamat sampai ke Sungai Juram pada pukul 5.00 petang. Catatan penurunan dari puncak Gunung Tahan ke Merapoh sejauh lebih kurang 44 km diakhiri dengan bermain bersama-sama ikan kelah di Sungai Juram dan ikan-ikan itu seperti mengucapkan tahniah atas kejayaan semua peserta menawan puncak Gunung Tahan dengan selamatnya dan ia seperti menitipkan pesanan agar masing-masing jangan serik datang lagi. Ekspedisi Menawan Puncak Gunung Tahan ternoktah di Kem Santuari Kelah Sungai Juram dengan catatan jarak pendakian keseluruhannya ialah 99 km.

Gunung Tahan 12

Hampir sejam di Kem itu, barulah semua peserta diangkut dengan pacuan empat roda ke Pejabat PERHILITAN, Sungai Relau dan sekali lagi semua peserta dikehendaki mengisytiharkan barang yang dibawa keluar. Selesai semuanya, para peserta pulang dengan menaiki bas dan masing-masing berasa amat letih dan mengantuk. Pada awalnya semua seperti teruja untuk berkongsikan pengalaman masing-masing semasa berada di dalam bas dalam perjalanan pulang tetapi semuanya seperti tewas dek sofa empuk kerusi bas dan suasana di dalam bas didendangkan dengan dengkuran keletihan yang bersulamkan tahi mata semua peserta. Sempat juga semua peserta singgah di Restoran Kentucky Fried Chicken (KFC), Gua Musang untuk mengisi perut. Tatkala terkenang melihat cara berjalan terhenjut-henjut kerana kaki yang sakit setelah seminggu digunakan tanpa henti serasa bagai hendak pecah perut ingin ketawa. Semua peserta pun terhingut-hingut seperti orang mabuk. Lucu melihatnya! Namun, syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana Happiness Index dan Healthy USM dalam diri semua peserta ekspedisi ini diharapkan telah meningkat. Rahsia alam sepanjang trip menawan puncak Tahan tersemadi dalam jiwa setiap peserta. Alhamdulillah.

“Itulah Yang Dinamakan Rahsia Alam di Puncak Tahan”

Gunung Tahan 10

Peserta Ekspedisi Gunung Tahan:

Kampus Kejuruteraan:
(1) Fadzley Hasan (HEPA – Unit Sukan)
(2) Rosmanizam Salehhoddin (Jabatan Pembangunan)
(3) Nor Hasnira Harun (Kejuruteraan Aeroangkasa)
(4) Aida Shuhaida Mustafa (Bahasa, Literasi dan Terjemahan)
(5) Mohamad Hekarl Uzir (Kejuruteraan Kimia)
(6) Khairul Zaman Zakaria (Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral)
(7) Ahmad Hazeem Rasedi (Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral)
(8) Nik Mohd Harith Nik Hassan (Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral)
(9) Muhamad Ali Murtadha Mohamed Hamidi (Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral)
(10) Muhammad Khairul Nizam Razali (Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral)
(11) Muhamad Alif Noor Azhar (Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral)

Gunung Tahan 11

Kampus Kesihatan:
(1) Raja Azman Raja Awang (Sains Pergigian)
(2) Mohamad Norramzali Mohamed (Hospital USM)
(3) Siti Aishah Abdul Nasir (Sains Kesihatan)
(4) Wan Ahmad Khairul Asmu’i Abdullah (Sains Kesihatan)
(5) Ahmad Izzul Hakimi Mohd Zubir (Sains Kesihatan)
(6) Nur Aisyah Mohd Jamil (Sains Kesihatan)
(7) Raja Khairul Mustaqim Raja Ahmad Najib (Sains Kesihatan)
(8) Nurain Munirah Wiani (Sains Pergigian)
(9) Fathin Nur Shahirah Hasli (Sains Pergigian)
(10) Muhammad Haziq Mohamad Sanusi (Sains Pergigian)
(11) Nurin Syazwana Mohd Nazrin (Sains Kesihatan)
(12) Nur Anis Shafiqah Zakaria (Sains Kesihatan)
(13) Siti Amira Sujali (Sains Kesihatan)

Gunung Tahan 13

Alumni:
(1) Muhammad Dzulakmal Hazahar (Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral)
(2) Muhamad Fakhrul Hakim Azis (Sains Kesihatan)

Teks disediakan oleh: Aida Shuhaida Mustafa
Foto oleh: Raja Azman Raja Awang, Mohamad Hekarl Uzir, Muhamad Fakhrul Hakim Azis, Khairul Zaman Zakaria, Nur Aisyah Mohd Jamil, Ahmad Izzul Hakimi Mohd Zubir, Wan Ahmad Khairul Asmu’i Abdullah

Gunung Tahan 19

Gunung Tahan 16

Gunung Tahan 20

Gunung Tahan 22