Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

SEMAI BUDAYA BERSYUKUR DALAM DIRI – PENGARAH KAMPUS

DSC 5381

NIBONG TEBAL, 3 Julai 2019 – Warga Kampus Kejuruteraan digesa untuk menyemai sifat bersyukur dan beruntung di dalam diri masing-masing kerana dapat merayakan sambutan Aidil Fitri dengan aman serta makmur.

Berikut adalah seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria dalam ucapan beliau, mewakili Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) yang tidak dapat hadir dalam Majlis Sambutan Hari Raya di sini baru-baru ini.

“Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama mengurangkan keluhan dan memanjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t yang telah melimpahkan kita dengan pelbagai bentuk rezeki yang tidak pernah kurang dari segi makanan yang melimpah ruah, keamanan, keharmonian dan juga kemakmuran,” kata beliau.

DSC 5240 tile

DSC 5275 tile

“Malah, sikap positif seperti ini juga diharap dapat menjadikan kita lebih menghargai nikmatnya menjadi rakyat Malaysia berbanding dengan saudara-saudara kita di luar sana yang kurang bernasib baik serta sentiasa terdedah dengan peperangan, penindasan dan kekejaman,” tambah Azazi.

Selain daripada itu, beliau turut mengajak seluruh warga kampus untuk megelakkan pembaziran sambil menyahut cabaran Kempen ‘War on Sugar and Creamer’ yang telah mula diperkenalkan oleh universiti ini sejak 1 Januari tahun ini.

DSC 5278 tile

DSC 5307 tile

“Saya sedia maklum bahawa dasar ini secara asasnya menggalakkan kita untuk makan dan minum secara sihat semasa perbincangan-perbincangan formal universiti.

“Namun begitu, walaupun majlis ini adalah bukan perbincangan formal seperti yang dinyatakan, saya rasa tiada salah untuk kita menyahut baik dasar ini demi manfaat kesihatan masing-masing di masa akan datang,” kata Azazi.

Malah, beliau juga berharap agar semua warga kampus yang hadir dapat mengikut panduan Diet Malaysia yang mencadangkan pengambilan jumlah gula seharian kita rakyat Malaysia seharusnya tidak melebihi 50g.

DSC 5341 tile

DSC 5359 tile

Majlis yang dihadiri oleh lebih kurang 1000 warga kampus termasuk staf dan pelajar ini merupakan acara tahunan Kampus Kejuruteraan dalam meraikan sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang tiba.

Turut sama hadir adalah Ahli Lembaga Gabenor USM, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak,  Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah

dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman