Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

SIMBOLIK USIA 30 TAHUN DI PAMERAN DAN KARNIVAL HARI TERBUKA PPKM

DSC 5144

NIBONG TEBAL, 17 Jun 2019 – Pameran dan Karnival Hari Terbuka Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (PPKM) yang diadakan pada hari ini menjadi simbolik kepada 30 tahun usianya sejak mula ditawarkan pada tahun 1969.

Julung kali diadakan demi memperkasakan lagi hubungan USM dengan pihak industri demi kebaikan dalam bidang pendidikan negara di masa akan datang, program ini juga adalah bukti sokongan PPKM sempena 50 tahun USM yang akan disambut pada tahun ini.

Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria dalam ucapan beliau berharap agar seiring dengan usia, pusat-pusat pengajian kejuruteraan boleh mula mensasarkan projek-projek yang akan memberikan impak bersifat transnasional dan bukannya fundamental.

DSC 5124 2

DSC 5090

“Sambil menyelam sambil minum air, USM pada hari ini menitikberatkan perubahan yang memberi impak besar kepada masyarakat dan dunia melalui ilmu pengetahuan.

“Demi kebaikan bersama, sambil mendaki puncak prestasi secara individu, marilah kita sama-sama mewujudkan satu idea atau ciptaan yang dapat memberi manfaat kepada semua pihak di luar sana terutamanya masyarakat setempat,” kata beliau.

DSC 5172

DSC 5182

DSC 5192

Program ini turut melibatkan penyertaan daripada institusi pengajian luar dan sekolah-sekolah dalam memperkenalkan program-program pengajian yang ditawarkan, kemudahan-kemudahan dan juga suasana pembelajaran di Kampus Kejuruteraan.

Melalui pameran yang diadakan sempena program ini, pengunjung yang hadir dapat didedahkan kepada penyelidikan-penyelidikan terkini dalam bidang kejuruteraan mekanik dan pembuatan yang merangkumi pelbagai aspek seperti rekabentuk, getaran, tenaga, biojisim, robotic dan teknik pembungkusan.

DSC 5106

DSC 5198 2

Bagi Dekan PPKM, Profesor Madya Dr. Jamaluddin Abdullah pula, selama 30 tahun ini, PPKM telah menunjukkan peningkatan melalui pencapaian yang boleh dibanggakan terutamanya dari segi kedudukannya di antara 100 yang terbaik dunia bagi lima tahun berturut-turut.

“Pencapaian ini bukanlah sesuatu yang boleh dicapai sekelip mata melainkan usaha yang berterusan oleh mantan-mantan dekan, para pensyarah, kakitangan-kakitangan dan para pelajarnya selama ini,” kata Jamaluddin.

“Kami akan terus melakukan yang terbaik terutamanya dari segi penerbitan berimpak tinggi serta berusaha mendekatkan PPKM dan masyarakat di masa akan datang untuk kebaikan bersama semua pihak,” tambah beliau.

DSC 5208

DSC 5167 2

Antara aktiviti lain yang dianjurkan dalam program yang berakhir pada jam 5.00 petang ini adalah Demo Flying Robot dan Pameran Reka Bentuk serta Projek Tahun Akhir Pelajar.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman