PPKK SEMARAKKAN SAMBUTAN 50 TAHUN USM DI LESTARI FUN RUN 2019

DSC 7167

NIBONG TEBAL, 16 November 2019 - Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK) buat julung kalinya menganjurkan program Lestari Fun Run 2019 dengan hasrat untuk menyemarakkan lagi sambutan ulangtahun ke-50 USM dan meraikan kedudukan USM dalam the TOP 50 THE University Global Impact Ranking 2019.

“Larian ini mengambilkira aspek impak sosial dan ekonomi yang diterajui oleh universiti seluruh dunia, berdasarkan 17 inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria.

Melalui program larian ini yang diadakan selaras dengan dasar #USMFIT yang menggalakkan gaya hidup sihat dan amalan kecergasan yang berterusan, beliau turut berharap agar program ini dapat diteruskan secara tahunan di Kampus Kejuruteraan kelak.

DSC 7189 tile

DSC 7208 tile

DSC 7244 tile

Program ini mengangkat warna hijau yang sinonim dengan agenda kelestarian alam sekitar, bertemakan Sustainability for Greener Future bagi menyebarkan kesedaran kepada semua peserta pentingnya perancangan pembangunan yang menitikberatkan aspek kelestarian dan keseimbangan alam sekitar melalui pengetahuan serta teknologi kejuruteraan, khususnya kejuruteraan kimia.

Bagi Dekan PPKK, Profesor Ir. Dr. Zainal Bin Ahmad pula, beliau teruja dalam menyaksikan larian yang berjaya mengumpulkan 650 orang peserta yang bukan sahaja dari Pulau Pinang malah daripada negeri-negeri lain seperti Kedah, Perak dan Kuala Lumpur juga.

DSC 7455 tile

DSC 7501 tile

DSC 7581 tile

“Selain apa yang telah dinyatakan oleh Pengarah Kampus, saya juga berharap agar program dapat memberikan impak positif kepada semua peserta dengan tema yang kita ketengahkan.

“Malah, sebagai salah sebuah pusat pengajian di USM, kita mahu menjadikan program seperti ini dijadikan sebagai medium yang dapat mendidik semua peserta dan pengunjung sambil berkongsi kepakaran-kepakaran yang ada di PPKK,” tambah Profesor Zainal.

Turut hadir adalah Profesor Dr. Ahmad Zuhairi Abdullah, Pengarah Projek Hari Terbuka Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia; Dr. Azam Taufik Mohd Din, Pengarah Projek USM Lestari Fun Run; Muhammad Syafiq Surash bin Abdullah, mewakili Ketua Pegawai Eksekutif PLUS dan Puan Noor Asmah Hashim, Pengarah Urusan, Alira Sepakat Sdn. Bhd.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI