Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PROF. MD. ROSLAN DILANTIK TNC KELESTARIAN DAN PEMBANGUNAN INSTITUSI USM YANG PERTAMA

9f3c89bf b18b 45f0 906a dd44d1eb84a5

PULAU PINANG, 1 Disember 2019 – Profesor Dr. Md. Roslan Hashim telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Kelestarian dan Pembangunan Institusi, KPI) Universiti Sains Malaysia (USM) yang pertama untuk tempoh tiga tahun mulai 1 Disember 2019 sehingga 30 November 2022 melalui pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.

Md. Roslan, 54, yang berasal dari Kubang Pasu, Kedah adalah Profesor di Pusat Pengajian Sains Fizik, dan bidang tumpuan penyelidikan dan pengkhususan beliau adalah dalam kajian Sains Nano dan Teknologi Nano bagi bahan-bahan semikonduktor.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Fizik (Kepujian) pada tahun 1989 di USM dan oleh kerana minat yang mendalam dalam bidang Sains Fizik, beliau melanjutkan lagi pengajian dan memperolehi Ijazah Sarjana dalam bidang Spektroskopi pada tahun 1992 di USM juga, sebelum menyambung pengajian di peringkat PhD dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Mikroelektronik dari University of Southampton, United Kingdom pada tahun 1997.

Sekembalinya dari UK pada tahun 1997, beliau memulakan kerjaya di USM sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Sains Fizik. Beliau telah dilantik sebagai Profesor Madya pada tahun 2003 dan Profesor pada tahun 2011.

Beliau pernah dilantik menjadi Pengerusi Rancangan Fizik Gunaan (8 tahun) dan Fizik Kejuruteraan (5 tahun) di antara tahun 2000 hingga 2013, dan menjadi tenaga pengajar dalam kursus-kursus lanjutan (pembelajaran berterusan) yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian kepada mereka yang bekerja di industri dari 1998-2008.

Md. Roslan telah berkhidmat selama 22 tahun di USM, dan adalah salah seorang yang bertanggungjawab terhadap penubuhan makmal penyelidikan nano-optoelektronik bernilai RM22 juta di Pusat Pengajian Sains Fizik.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau pernah meraih Anugerah Young Researcher Award oleh Japanese Society for the Promotion of Science (JPS) pada tahun 1998; Visiting Scientist di Regional Workshop on Optoelectronics, Serpong, Indonesia, 2001 di bawah tajaan Asian Development Bank; Visiting Scientist di University of Southampton, U.K., 2003; Visiting Researcher di University of New South Wales, Australia, Februari 2008; Visiting Scientist di University of Lorraine Nancy, France (Ogos 2015); dan Visiting Professor di King Abdul Aziz University of Science and Technology (KAUST), Saudi Arabia (April 2017).

Sebagai seorang ahli akademik, beliau telah pun menyelia lebih 25 orang pelajar USM di peringkat sarjana dan kedoktoran dari dalam dan luar negara, dan berjaya mendapat pelbagai geran penyelidikan di peringkat nasional dan universiti, serta menerbitkan lebih 130 kertas penyelidikan jurnal dan prosiding antarabangsa mahupun kebangsaan.

Beliau juga kerap dijemput menjadi penilai journal berwasit antarabangsa yang berimpak tinggi. Di peringkat kebangsaan beliau pernah menduduki lebih 20 jawatankuasa di bawah MOSTI untuk menilai geran-geran Industrial Funds.

Md. Roslan juga merupakan seorang aktivis sosial yang banyak melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kemanusiaan, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Penglibatan beliau secara langsung dalam aktiviti kesukarelawanan telah banyak memberi impak kepada warga USM, rakyat Malaysia dan juga masyarakat umum pada peringkat global. Misalnya beliau aktif dalam NGO yang memfokuskan isu rakyat Palestin dan juga terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan seperti semasa berlaku tsunami di Acheh (2004) dan gempa bumi di Padang, Indonesia (2009).

Apabila dihubungi melalui WhatsApp, Md. Roslan menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan Pengurusan Tinggi USM kerana memberi peluang dan kepercayaan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab yang sangat mencabar ini dan melaksanakan bidang tugas di bawah portfolio ini.

“Saya amat berharap dapat bergerak bersama-sama dengan Pengurusan Tinggi dan seluruh warga USM untuk memacu kecemerlangan Universiti ke tahap yang lebih tinggi sejajar dengan visi dan misi USM,” katanya.

Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik, dalam surat pelantikan yang dikeluarkan, turut merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Md. Roslan dan berharap agar beliau dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang kepada universiti dalam kapasitinya sebagai TNC KPI.

Teks: Tan Ewe Hoe