Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PEMANTAPAN ROH APEX MELALUI SINERGI SATU PASUKAN USM BERBILANG DISIPLIN

DSC 7105

NIBONG TEBAL, 31 Mei 2023 – Kakitangan Universiti Sains Malaysia perlu bergerak sebagai satu pasukan berbilang disiplin, sebagai satu sinergi universiti dan bukan melalui Pusat Tanggung Jawab (PTJ) masing-masing demi pemantapan Roh Accelerated Programme for Excellence (APEX).

Perkara ini dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemandu APEX USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, ketika hadir menyampaikan Taklimat Penyemarakan Agenda APEX USM kepada Kumpulan Pengurusan & Profesional Bukan Akademik (Gred 41 hingga 54) di sini hari ini.

“Sebagai satu kampus yang tidak kurang hebatnya berbanding kampus-kampus USM yang lain, saya yakin bergeraknya kita sebagai satu pasukan selepas ini akan melonjakkan lagi agenda serta impak APEX yang dinyatakan, seiring dengan misi dan visi universiti,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, walaupun maklum balas yang diterima melalui taklimat hari ini adalah baik, ianya masih terserah kepada 37 orang kakitangan yang terdiri daripada Kumpulan Pengurusan & Profesional Bukan Akademik (Gred 41 hingga 54) yang hadir untuk menerima setiap mesej yang disampaikan.

DSC 7153

“Terutamanya untuk memahami, menghayati dan melaksanakan apa yang dimaksudkan oleh APEX yang mana statusnya telah diberikan kepada kita sejak tahun 2008 dan kini ianya telah masuk tahun ke-15 dan fasa ke-2 di USM,” tambah Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan.

“Dalam waktu terdekat, kita mahu mereka yang hadir kembali ke PTJ masing-masing dan seterusnya memperbaiki setiap kelemahan yang ada ke arah mencapai Agenda APEX melalui visi dan misi universiti

“Untuk jangka masa panjang pula, kita sedang menuju ke arah ‘Blueprint’ demi menyemarakkan semula bahang APEX agar ianya dapat dirasai oleh semua warga staf di samping menjadi permulaan kepada lebih banyak perbincangan serta libatsama sebaik sahaja ianya dilancarkan kelak,” tambah beliau.

Bagi Pegawai Tadbir Kanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) Kampus Kejuruteraan, Puan Norzita Binti Nanyan selaku salah seorang yang hadir, sesi taklimat ini berjaya memperkasakan pemahaman beliau akan hala tuju APEX di USM.

“Apatah lagi melalui sesi soal jawab yang dijalankan oleh Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan sepanjang sesi taklimat berlangsung membuka ruang kepada kami selaku wakil-wakil dari kalangan kumpulan Pengurusan & Profesional untuk menambah baik pengetahuan walaupun sudah ada penghayatannya sebelum ini lagi.

DSC 7130

“Apatah lagi ianya sudah lama tidak dibincangkan dan digilap semula, terutamanya berkenaan pemahaman akan nilai kebersamaan bagi mencapai matlamat agenda APEX tanpa mengira latar belakang staf yang memimpin demi kelastarian hari esok,” kata Puan Norzita.

Beliau yang juga seorang kauselor ini turut menambah bahawa pengorbanan dari hati yang ikhlas perlu dilakukan bagi mencapai hasrat murni agenda APEX ini di samping sentiasa positif untuk menerima, menolak,mengembangkan serta belajar dari kesilapan lalu bagi melancarkan perjalanan kejayaan matlamat agenda Apex itu sendiri.

“Maklum balas yang diperolehi ini pula akan menjadi satu nilai tambah serta titik tolak untuk kami bergerak bersama universiti dalam menjayakan matlamat serta agenda APEX ini kelak,” tambah Puan Norzita.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman