Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PENGARAH KAMPUS TERIMA KUNJUNGAN HORMAT PEMANGKU KETUA POLIS DAERAH SPS

DSC 9526

NIBONG TEBAL, 31 Januari 2024 – Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datin. Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), DSP Mohd Norazmi Abd Ghapar.

Kunjungan hormat ini merupakan susulan daripada penganjuran temasya Bola Sepak Piala Ketua Polis Negeri Pulau Pinang (KPNPP) 2024 yang akan diadakan di padang Kampus Kejuruteraan pada 1 hingga 7 Februari akan datang.

Profesor Datin Dr. Azlina ketika bercakap dalam sesi kunjungan tersebut menyatakan ucapan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan Ibu Pejabat Polis Daerah SPS, terutamanya dalam pemilihan USM sebagai lokasi program mereka nanti.

DSC 9528

DSC 9536

“Semoga temasya yang diadakan nanti berjalan serta berlangsung dengan lancar hendaknya,” tambah Azlina dalam pertemuan yang berlangsung di pejabat beliau ini.

Selain daripada itu, beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih secara langsung kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya di daerah SPS yang telah memberikan komitmen dan kerjasama tinggi dalam program USM Ultra pada 31 Disember 2023 lalu.

Menurut DSP Mohd Norazmi, dua padang yang terletak di Stadium Mini dan padang B, Kompleks Sukan Kampus Kejuruteraan USM akan digunakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah SPS sempena temasya bola sepak ini nanti.

DSC 9548

Turut mengiringi beliau dalam sesi kunjungan hormat ini adalah ASP Suriati Fakirimara dan Inspektor Muhammad Helmi Zainudin.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman