KAMPUS KEJURUTERAAN TONGGAK UNIVERSITI SAINS MALAYSIA – NAIB CANSELOR
NIBONG TEBAL, 21 Februari 2024 – Kampus Kejuruteraan bukan sahaja sinonim, tetapi juga tonggak kepada kejayaan Universiti Sains Malaysia (USM).
Berikut adalah seperti yang dinyatakan oleh Naib Canselornya, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam majlis Perutusan Tahunan Naib Canselor 2024 di Kampus Kejuruteraan pada hari ini.
Beliau ketika menyampaikan perutusan tersebut turut menggesa agar seluruh warga kampus terus bergerak seiringan dengan penuh tekad dan bersatu hati dalam mengangkat martabat universiti sbg sebuah institusi unggul yang disegani serta dihormati di seluruh dunia.
“Pelihara nama baik USM kerana ianya akan meninggalkan kesan kepada kita secara keseluruhan,” tambah Abdul Rahman.
Menurut beliau lagi, usaha jitu serta komitmen yang padu daripada semua warga USM amat diperlukan kerana pastinya “yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang”.
“Sesungguhnya, kita amat bersyukur dengan segala kejayaan yang telah dikecapi dan sokongan yang perolehi, namun, usaha perlu diteruskan untuk USM menjadi sebuah institusi yang mampan kendiri (self-sustaining),” katanya.
Dalam majlis tersebut, Abdul Rahman turut membentangkan 10 tujahan yang memberi tumpuan kepada Inisiatif Utama APEX 2024 iaitu;
Tujahan Pertama: Pemposisian dan Jenama USM
Tujahan Kedua: Keunggulan Global
Tujahan Ketiga: Transformasi Digital
Tujahan Keempat: Pendidikan Dinamik dan Inovatif
Tujahan Kelima: Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi
Tujahan Keenam: Pembangunan Bakat
Tujahan Ketujuh: Kelestarian Persekitaran
Tujahan Kelapan: Kelestarian Kewangan
Tujahan Kesembilan: Strategic Foresight
Tujahan Kesepuluh: Governans
Menurut beliau, 10 bidang tujahan ini USM akan terus maju Memimpin Kecemerlangan APEX dan memberi sumbangan yang signifikan kepada pembangunan bakat dan kesejahteraan masyarakat di peringkat kebangsaan dan global.
Dalam majlis yang sama, Naib Canselor, sambil diiringi oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin dan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) turut melancarkan E-Skuter di Kampus Kejuruteraan.