JLU4U: KAMPUS KEMBALI MERIAH DENGAN AKTIVITI PELAJAR
NIBONG TEBAL, 5 Jun 2022 - Program Keusahawanan JLU4U anjuran Majlis Penghuni Desasiswa Jaya Lembaran (MPDJLU) yang pertama adalah permulaan kepada kemeriahan desasiswa tersebut setelah dua tahun menyepi akibat pandemik, tanpa sebarang aktiviti yang melibatkan orang ramai dan berskala besar.
Berlangsung selama dua hari iaitu pada 1 Jun sehingga 2 Jun 2022, program ini berjaya menghimpunkan seramai lebih kurang 500 orang peserta dan melibatkan beberapa kawasan sekitar kampus seperti Lantai Alam, Kafeteria Lembaran, Sudut Pidato, Kafeteria Jaya dan Anjung MPDJLU.
Berkonsepkan santai dan riadah, tujuan utama program ini adalah untuk memeriahkan suasana Desasiswa Jaya Lembaran Utama (DJLU) dengan pelbagai aktiviti dan acara menarik selain mendekatkan hati penghuni desasiswa dengan Jaya Lembaran Utama.
Antara aktiviti yang dilaksanakan dalam pengisian program dua hari ini adalah gerai jualan, Rumah Hantu, Kayak, Pesta Ria Mini, Zoo Mini, Malam Wayang, Perlumbaan Explorasi serta persembahan konsert.
Terdapat 28 gerai jualan yang disertai oleh exco MPD JLU sendiri, pelajar, staf USM serta peniaga dari luar di mana pelbagai jenis makanan, minuman, barangan kraftangan serta barangan kosmetik telah dijual.
Semua aktiviti yang dijalankan mendapat sambutan yang sangat meriah dan memuaskan dari kalangan pelajar dan warga USM terutama warga Kampus Kejuruteraan.
Program JLU4U melabuhkan tirai pada hari kedua dengan acara persembahan konsert sebagai penutup seperti nyanyian dan tarian oleh penyanyi solo serta berkumpulan yang terdiri dari kalangan pelajar USM Kampus Kejuruteraan dari pelbagai etnik dan kaum.
Kejayaan hasil dari program dua hari ini dapat dilihat dengan penglibatan ramai pelajar dalam kesemua aktiviti yang dianjurkan sepanjang dua hari ini hasil dari usaha sama yang erat antara urusetia setiap exco Majlis Penghuni Desasiswa Jaya Lembaran Utama dan setiap peniaga yang menjalankan perniagaan.
Semoga kemeriahan yang ditunjukkan sepanjang dua hari ini bersama-sama dengan semangat bekerjasama, kesepakatan dan saling membantu yang tinggi dalam menjayakan program ini dapat menjadi pemangkin kepada program lain untuk dilaksanakan secara fizikal selepas ini.
Teks dan foto adalah sumbangan Puan Hasliza Mat Saad. Beliau merupakan Penolong Penggawa Desasiswa Jaya Lembaran Utama, Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia.