Skip to main content

MAJLIS MAKAN MALAM PENGHARGAAN PERKHIDMATAN, BAKAL PESARA PPPU DIRAI

There is no translation available.

DSC 0452

NIBONG TEBAL, 6 Julai 2022 – Penganjuran Makan Malam Penghargaan Perkhidmatan oleh Pusat Perumahan dan Penginapan Universiti (PPPU) Kampus Kejuruteraan menjadi satu medan dalam meraikan tiga daripada kakitangannya yang bakal bersara pada tahun ini.

Karnagi a/p Sockalingam (55), Mazlan bin Ishak (58) dan Shanmuganathan a/l Kandasamy (60) yang kebetulan memegang jawatan yang sama sebagai Pembantu Awam di PPPU akan mula bersara, masing-masing pada bulan Julai, Ogos dan November 2022 ini.

Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, yang hadir menyatakan penghargaan beliau di atas peranan ketiga-tiga mereka yang telah banyak menyumbangkan khidmat bakti kepada Kampus sepanjang tempoh perkhidmatan.

DSC 0399

DSC 0387

“Secara sedar atau tidak, mereka yang sudah atau bakal berpencen ini merupakan tulang belakang kepada universiti.

“Selama berpuluh tahun, mereka ini telah mencurahkan segala tenaga dan masa masing-masing dalam menjalankan tugas demi memastikan Pusat Tanggungjawab mereka berfungsi serta berjalan dengan lancar setiap hari,” kata Azazi.

“Sebagai Pengarah, tiada apa yang saya boleh katakan melainkan berpesan agar ketiga-tiga mereka dapat menjalani kehidupan selepas bersara yang lebih baik selepas ini, apatah lagi mereka nanti tidak lagi akan terikat dengan kekangan kerja harian mahupun di pejabat,” tambah beliau.

DSC 0374

DSC 0410

Menurut Ketua Unit PPPU, Dr. Hasfizani Haji Ariffin pula, selain meraikan ketiga-tiga staf yang bakal bersara tersebut, beliau turut berharap agar majlis ini dapat menunjukkan satu sisi lain bahawa USM sentiasa prihatin terhadap konsep kesamarataan di kalangan kakitangannya.

“Tidak kira apa jawatan atau tanggungjawab yang dipegang, kita semua adalah penting dan perlu diraikan secara meriah serta bersama-sama tanpa perbezaan.

“Perkara ini juga jelas menunjukkan bahawa di USM, tiada istilah hanya mereka yang berjawatan tinggi sahaja akan diraikan setiap kali tiba masa untuk persaraan mereka, memandangkan kakitangan sokongan ini juga sebenarnya adalah bahagian penting di dalam universiti,” kata Hasfizani.

DSC 0420

DSC 0456

Menurut salah seorang yang diraikan, Karnagi a/p Sockalingam, majlis perpisahan yang diadakan untuk mereka bertiga ini adalah satu bentuk penghargaan yang amat tinggi dan bernilai serta amat bermakna dalam lipatan sejarah beliau.

“Malah, saya juga ingin menyampaikan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua sahabat saya yang sentiasa ringan dalam menghulurkan bantuan serta kerjasama sepanjang saya bertugas di USM ini,” kata kakitangan yang mula berkhidmat di USM sejak tahun 1992 ini.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman