KOLABORASI RUMAH MODULAR KOMPOSIT USM-DK COMPOSITE BANTU GOLONGAN B40
NIBONG TEBAL, 27 Jun 2023 - Kolaborasi Universiti Sains Malaysia (USM) dan DK Composite Sdn Bhd dalam Membina Rumah Modular Komposit akan membantu golongan B40 untuk memperoleh rumah idaman mampu milik di bawah RM150,000 dengan keluasan 1,000 kaki persegi.
Ketua Pengarah Eksekutif DK Composite Sdn Bhd, Maziah Mohamad berkata, idea Rumah Modular Komposit ini mula tercetus ketika banjir besar yang melanda penduduk Kampung Serasa di Dabong, Kuala Krai, Kelantan pada tahun 2014.
“Pada waktu itu, terdapat keperluan mendesak untuk menyediakan bantuan perumahan kepada penduduk kampung yang mana rumah mereka telah dihanyutkan oleh banjir.
“Oleh itu, penyelidikan telah dimulakan dengan serta-merta terutamanya mengenai konsep panel komposit pra-fabrikasi dalam pembinaan rumah-rumah ini yang seterusnya dipasang siap di lokasi dalam tempoh masa seminggu,” kata beliau.
“Selain daripada itu, pihak USM juga akan menjalankan kajian terperinci mengenai jangka hayat rumah modular komposit yang telah direkabentuk sebelum dipasarkan secara komersial kelak.
“Kajian ini akan melibatkan model simulasi untuk membuktikan keselesaan dan kekuatan struktur rumah tersebut di mana ianya perlu dilaksanakan beberapa kali menggunakan perisian analisis unsur terhingga supaya keselamatan rumah yang dihasilkan dapat dipastikan sebelum diduduki,” tambah Maziah.
Pemasangan Rumah Modular Komposit hanya memerlukan tempoh masa sekitar 7 hingga 14 hari, bergantung kepada rekabentuk rumah dan dibina dalam persekitaran kilang sebelum dipasang di tapak.
Menurut ketua penyelidik USM, Ts. Dr. Muhammad Hafiz Hassan proses pembinaan yang terkawal mengurangkan masa yang diperlukan untuk mendapatkan rumah siap manakala dari segi kestabilan struktur, ianya dibina dengan menggunakan bahan komposit yang kuat dan tahan lama.
“Bahan ini biasanya lebih ringan tetapi tetap menawarkan kekuatan struktur yang mencukupi dan menjadikan rumah modular komposit ini lebih stabil dengan jaminan jangka masa panjang kepada golongan B40,” jelas pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik ini.
“Malah, dari sudut penjimatan tenaga pula, bahan komposit yang digunakan dalam pembinaan rumah modular ini biasanya mempunyai sifat penebat haba yang baik, seterusnya membantu mengurangkan kebergantungan kepada alat penghawa dingin di samping menjimatkan kos tenaga,” tambah Dr. Muhammad Hafiz.
Beliau turut menyatakan bahawa Non-Disclosure Agreement (NDA) mengenai projek ini telah ditandatangani oleh kedua belah pihak pada 18 April 2023 dan projek penambahbaikan proses simulasi rumah modular untuk kegunaan komersial turut melibatkan beberapa orang pakar dalam bidang pembuatan komposit serta analisis unsur terhingga dari USM.
“15 unit rumah telah dibuat di kilang DK Composite Sdn Bhd dari bulan Mei hingga Julai 2015, 13 daripadanya ditempatkan di Kampung Serasa, Dabong, Kelantan manakala dua unit lagi telah tempatkan di Janda Baik, Bentong, Pahang,” akhiri Dr. Muhammad Hafiz.
Selain Dr. Muhammad Hafiz serta pasukan, kerja-kerja simulasi ini turut melibatkan beberapa orang wakil dari The Advanced Composite Group iaitu Dr. Muhammad Fauzinizam Razali, Dr. Mohd Syakirin Rusdi dan Dr. Sareh Aiman Helmi Abu Seman.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan Ts. Dr. Muhammad Hafiz Hassan