Skip to main content

PELANTIKAN PROFESOR DATO’ DR. AHMAD FARHAN MOHD SADULLAH SEBAGAI NC UPM, WARGA KAMPUS KEJURUTERAAN TURUT BERBANGGA

There is no translation available.

IMG 20230920 WA0029

NIBONG TEBAL, 20 September 2023 – Pelantikan Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, 57, sebagai Naib Canselor (NC) Universiti Putra Malaysia (UPM) turut membanggakan warga Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM).

Pelantikan beliau diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin hari ini dan akan mula berkuatkuasa pada 2 Oktober akan datang.

Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin, yang merupakan isteri kepada Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berbesar hati atas pelantikan serta tanggungjawab baharu yang diserahkan kepada beliau oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini.

IMG 20230920 WA0032

Beliau berharap agar Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan dapat menggalas amanah yang diberikan dan dipermudahkan oleh Allah SWT untuk memimpin UPM, bukan sahaja dengan penuh tanggungjawab tetapi juga cemerlang.

Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah merupakan sebahagian daripada komuniti besar USM khususnya Kampus Kejuruteraan dan telah berkhidmat sebagai Pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam USM sejak tahun 1995.

Pakar bidang kejuruteraan pengangkutan ini pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Malaysia (USM) dari tahun 2017 hingga 2021 selain pernah menjadi Pengarah Kampus Kejuruteraan USM dari tahun 2016 hingga 2017.

Pernah dipinjamkan menjadi Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dari 2008 hingga 2011, Tokoh Keselamatan Jalan Raya 2015 ini juga berpengalaman sebagai Ketua Kluster Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Keselamatan Jalan Raya, Kementerian Pengangkutan.

IMG 20230920 WA0031

IMG 20230920 WA0033

Antara jawatan lain yang pernah disandang oleh Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah adalah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Penyelaras Unit Inovasi dan Pembangunan Teknologi, Dekan Pelantar Penyelidikan Kejuruteraan serta Pengarah Inovasi, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi.

Anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam daripada The Catholic University of America (1988); Diploma Imperial College (Imperial College of Science, Technology and Medicine, 1990); Ijazah Sarjana Sains dalam Pengangkutan (Imperial College of Science, Technology and Medicine, 1990) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengajian Pengangkutan (University College, University of London, 1995).

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Facebook Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Hj. Mohamed Khaled Nordin