GERAN LIBATSAMA UNIVERSITI KOMUNITI BJIM: SEKUMPULAN PENYARAH PPKBSM ANJUR AKTIVITI ‘HANDS-ON’ BERASASKAN STEM DI SEKOLAH KEBANGSAAN BANDAR BAHARU, KEDAH
BANDAR BAHARU, 13 September 2023 – Sekumpulan pensyarah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM) Universiti Sains Malaysia menganjurkan aktiviti ‘Hands-on’ berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada pelajar-pelajar terpilih dari Sekolah Kebangsaan Bandar Baharu, Kedah hari ini.
Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada projek komuniti sekumpulan pensyarah tersebut melalui Program Hands-on dan Inovasi Sains di Sekolah Rendah Luar Bandar sekitar Kedah di bawah Geran Libatsama Komuniti Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM).
“Program ini berperanan dalam pemindahan ilmu kepada pelajar melalui topik-topik berkaitan subjek Sains dengan mengguna pakai konsep ‘belajar sambil bermain’ demi meningkatkan tahap kefahaman mereka,” kata Dr. Syazana Ahmad Zubir selaku Ketua Projek.
“Semoga projek inovasi STEM di Sekolah Kebangsaan luar bandar ini akan menarik minat 30 orang pelajar tahun lima yang turut serta terhadap subjek Sains dan seterusnya memperkasakan inovasi pada peringkat akar umbi,” tambah beliau.
Salah seorang guru yang terlibat, Nor Asniza Idris (38) berkata, beliau amat berbesar hati ketika USM menjadikan Sekolah Kebangsaan Bandar Baharu sebagai salah satu daripada pilihan lokasi projek kerana tidak semua sekolah diberi peluang seperti ini.
“Selain daripada itu, input tambahan yang disediakan USM dalam aktiviti ini akan memberikan pemahaman yang lebih berkesan kepada pelajar apabila topik berkaitan di ajar nanti dan semoga mereka dapat membantu menerangkannya kepada rakan-rakan lain yang tidak berpeluang untuk turut serta,” kata Asniza.
“Kita juga berharap supaya aktiviti ini dapat menjadi satu platform dalam memupuk minat pelajar-pelajar ini ke arah bidang sains dan kejuruteraan yang mana saban harinya semakin kurang minat dalam kalangan pelajar pada hari ini,” tambah beliau.
Dua daripada murid yang terlibat, Marsya Nur Aqilah Khairul Nazmi dan Mia Halesya Khairul Anuar, masing-masing berusia 11 tahun, menyatakan rasa seronok kerana dapat belajar sambil menjalankan eksperimen secara langsung berkenaan litar elektrik dan haba di bawah kendalian pensyarah-pensyarah dan pelajar-pelajar Ijazah Tinggi dari PPKBSM ini.
“Saya memang berminat dalam aktiviti seperti ini dan ianya lebih menarik apabila dikendalikan secara kreatif dan bertenaga oleh para pengajar yang terlibat,” kata Marsya.
“Saya pula seronok kerana aktiviti ini memberi peluang kepada kami untuk menjalankan eksperimen yang tidak pernah dialankan sebelum ini dan ilmu ini akan saya kongsikan bersama rakan-rakan yang lain nanti,” tambah Mia Halesya.
Dalam pada itu, Munirah Johar (27), salah seorang daripada pelajar Ijazah Tinggi dari PPKBSM yang hadir dan bertindak sebagai tenaga pengajar berkata, menjalankan eksperimen dengan murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Bandar Baharu adalah satu pengalaman yang bermakna.
“Sesi pembelajaran juga menjadi lebih efektif apabila murid-murid menunjukkan minat yang tinggi sepanjang eksperimen dijalankan serta tidak malu bertanya soalan untuk mengetahui dengan lebih lanjut apa yang tidak difahami mereka kepada kami,” kata beliau.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman