跳至主要内容

KEPELBAGAIAN DIRAI MELALUI CULTURAL EXCHANGE EXPO 2025

There is no translation available.

DSC 5630

NIBONG TEBAL, 30 April 2025 – Sekretariat Mentor Rakan Siswa dan Unit Kaunseling Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia hari ini telah menganjurkan program Cultural Exchange Expo #SilangBudaya 2025 bagi memperkukuh semangat perpaduan dan pemahaman budaya dalam kalangan warga kampus.

Program ini mengetengahkan kepelbagaian makanan tradisional dari seluruh negeri di Malaysia sebagai medium utama untuk memperkenalkan serta menghargai warisan budaya negara.

Makanan yang diketengahkan melalui gerai kendalian pelajar pula mewakili negeri masing-masing dan ianya boleh dinikmati sambil pengunjung didedahkan dengan asal-usul, sejarah dan nilai budaya dalam setiap hidangan yang disediakan tersebut.

DSC 5620 DSC 5622

Penasihat Program, Norzita Nanyan berkata, penganjuran expo ini sejajar dengan aspirasi USM untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga aktif, kreatif dan berkemahiran dalam pelbagai aspek, termasuk keusahawanan dan hubungan sosial merentas negeri.

“Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan menjadi acara tahunan yang dinantikan, bukan sahaja oleh warga kampus, malah oleh komuniti sekitar sebagai jambatan antara ilmu, budaya dan rakyat,” ujar beliau.

“Program ini juga, berperanan sebagai platform interaktif yang mendidik, menyatukan serta merapatkan hubungan antara pelajar daripada pelbagai latar belakang melalui pendekatan budaya berasaskan makanan,” tambah Norzita.

DSC 5629 DSC 5617

DSC 5634 DSC 5627

“Selain dapat meningkatkan lagi kefahaman akan silang budaya antara negeri dalam kalangan pelajar, penganjuran ini juga diharap dapat menggalakkan lagi pengunjung dari luar negara khususnya, untuk menghayati kepelbagaian budaya Malaysia melalui pendekatan yang mudah diakses dan dinikmati,” kata beliau.

Malah, Norzita turut berharap agar program ini memberi impak positif kepada pelajar melalui elemen keusahawanan dan pengurusan acara yang diterapkan selain mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kampus.

Selain gerai makanan tradisional sebagai tarikan utama, program ini turut diserikan dengan aktiviti-aktiviti lain seperti "Kejut Got Talent", Rumah Hantu, dan persembahan Wayang Pancak, yang menambahkan elemen hiburan dan keterlibatan dalam kalangan pengunjung.

Teks: Nor Hasya Nazifa Yusop