跳至主要内容

USM RAI INDUSTRI, PELAJAR

There is no translation available.

Gala Dinner DSC3922

SEBERANG JAYA, 17 Mac 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM), malam tadi menganjurkan majlis makan malam bersama 65 industri yang terlibat dalam program “Career Fair” bagi tahun yang ke 10 di The Light Hotel di sini.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Penolong Naib Canselor, Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan isteri yang meraikan pihak industri untuk menjamu selera dengan pelbagai hidangan disediakan dengan diselang seli pertunjukan pelajar dan cabutan bertuah.  

Gala Dinner DSC3796

Ahmad Farhan berkata,  program tersebut merupakan “flag ship” dan menjadi kebanggaan Kampus Kejuruteraan khususnya kepada jawatankuasa penganjur yang majoriti dalam kalangan pelajar.

“Melalui pameran kerjaya ini, graduan boleh mendapatkan maklumat yang melibatkan pelbagai sektor kerjaya dan kumpulan sasaran, dan pada masa yang sama juga boleh meningkatkan cara mereka berfikir melalui penampilan keyakinan diri dan personaliti yang positif”, katanya.

Gala Dinner DSC3798

“Ini adalah penting terutamanya apabila graduan perlu bersedia dari segi mental dan fizikal apabila mereka bergerak dari alam akademik hinggalah kepada kerjaya yang mencabar”, tambahnya lagi.

Beliau turut menaruh harapan supaya “Career Fair” di Kampus Kejuruteraan ini akan terus memberi manfaat kepada pelajar kejuruteraan USM untuk tahun akan datang dan memberi pengetahuan dan panduan mengenai laluan kerjaya yang perlu diambil oleh graduan.

Jelasnya, graduan perlu membuat pilihan bijak untuk kerjaya masa depan mereka dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.

Gala Dinner DSC3738

Sementara itu, Pengarah Projek, Teoh Cheng Lay berkata, program tersebut telah berlangsung dengan baik dan berjaya serta mencapai sasaran yang telah ditetapkan seperti mendapatkan penglibatan syarikat ternama dan menjana pendapatan yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

“Saya sangat bersyukur dan berbangga dengan pencapaian pada tahun ini, walaupun masih terdapat beberapa perkara yang memerlukan perubahan dalam memberikan impak yang lebih baik pada masa hadapan”, kata pelajar tahun tiga, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik itu.

“Harapan saya, supaya generasi yang seterusnya akan berusaha dengan lebih gigih lagi bukan sahaja untuk menjalankan projek atau program Career Fair tetapi untuk sentiasa menambahbaik lagi program seterusnya menjenamakan Career Fair USM serta mengharumkan nama baik Universiti Sains Malaysia”, katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Adrian.

Gala Dinner DSC3906

Antara yang hadir memeriahkan majlis adalah bekas pengarah projek program tahun  2011, Hong Jia Herh pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia yang kini bertugas sebagai jurutera komponen di Jabil Circuits, Pulau Pinang dan Khoo Teng Lee, tahun 2014 yang kini juga bergelar jurutera di Dyson Manufacturing/Technology di Johor.

Seorang lagi bekas pengarah projek yang hadir bersama-sama meraikan majlis adalah Chun Jan Bong yang merupakan pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam.

Jumlah kehadiran kedua-dua hari Career Fair tersebut mencapai 2500 orang dan hampir 500 peluang pekerjaan yang disediakan oleh syarikat yang menyertainya pada tahun ini.

Gala Dinner DSC3801

Hadir sama, Pendaftar, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Abdul Aziz Tajuddin dan wakil dari SanDisk Storage Malaysia Sdn. Bhd., selaku penyumbang terbesar pada kali ini iaitu Naib Presiden Kanannya, Gursharan Singh dan Pengarah Sumber Manusia, Moorthy Murugaiah.                                   

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin