KEJUTan RAYA 22, NC DAN PENGARAH HARGAI USAHA PELAJAR
NIBONG TEBAL, 23 Mei 2022 – Jamuan raya Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung hari ini bukan sahaja berjaya menarik perhatian Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan malah Pengarahnya sendiri iaitu Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria.
Apatah lagi dengan tema “KEJUTan Raya 22”, acara ini buat julung-julung kalinya dianjurkan sepenuhnya oleh barisan pelajar termasuklah dari kalangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Sekretariat MPP, Majlis Penghuni Desasiswa Jaya Lembaran Utama (MPDJLU).
Faisal Rafiq dan Azazi turut memuji serta menghargai semua pelajar bersama-sama penasihat mereka dari Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) yang telah menjadi tulang belakang kepada kejayaan penganjuran acara ini yang diadakan semula selepas dua tahun pandemik Covid-19 melanda.
Naib Canselor USM tersebut turut menyampaikan keterujaan beliau dalam menghadiri acara ini buat pertama kalinya memandangkan ini adalah jamuan raya beliau yang sulung walaupun sudah menjawat jawatan tersebut sejak 4 Oktober 2019 lagi.
Bagi Pengarah Kampus Kejuruteraan pula, selain menyampaikan rasa penghargaan epada pelajar kerana telah berusaha keras dalam memastikan terlaksananya acara ini, beliau turut memanjangkan ucapan terima kasih beliau kepada semua pihak yang terlibat.
Beliau menyatakan rasa sukacita dan berbesar hatinya bukan sahaja kepada semua PTJ serta Pusat Pengajian yang telah memberi tajaan kewangan dalam acara ini malah, kepada Koperasi Kelab Kebajikan & Sukan Staf Kejuruteraan (KKSSK) yang telah memberi sumbangan makanan juga.
Seramai lebih kurang 1000 Warga Kampus Kejuruteraan hadir dalam acara yang berakhir pada jam 5.30 petang ini.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman