Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

DEKATI MASYARAKAT DAN ZAHIRKAN ILMU DENGAN BERHIKMAH

30 Oktober 2023

Penulisan ini lebih kepada perkongsian pengalaman tentang pembelajaran berterusan ahli akademik dalam memahami masalah masyarakat dan menyuntik usaha untuk menyelesaikan permasalahan mereka. Seperti yang kita biasa dengar, sebagai ilmuan, ahli akademik dinasihatkan untuk mendekati masyarakat dan zahirkan ilmu dengan berhikmah. Memikul ilmu yang tinggi bukan hanya untuk dilihat atau ditonton oleh masyarakat, tetapi untuk diguna, dipakai dan dimanfaatkan kepada mereka juga. Ahli akademik adalah sumber ilmu dan pembimbing masyarakat diwaktu mereka memerlukan pemahaman atau panduan mengenai sesuatu perkara. Apatah lagi dengan situasi di mana masyarakat juga ingin meminta pandangan yang jelas daripada ilmuan dan neutral dalam memberi jawapan kepada realiti dihadapi mereka

inno4c 583 nov2020 295

Secara peribadi, rasa amat gementar apabila diberi tugasan untuk menangani masalah kehidupan terutamanya masalah ekonomi golongan terkebawah (B40). Bukan tidak yakin dengan pengetahuan yang ada, tapi kurang pengalaman dalam berinteraksi dalam masyarakat itu sendiri yang berbeza kepercayaan, budaya dan adat. Pada lawatan tapak yang pertama ke beberapa lokasi penanaman lada diSarawak terutama di perkampungan kaum Bidayuh, seperti Kampung Stass di Bau dan Kampung Garung di Padawan. Turut dilawati adalah penempatan kaum Iban seperti Rumah Panjang Melabu Bair di pendalaman Betong, Sri Aman, untuk membuat tinjauan tentang kehidupan mereka. Dalam pertemuan ini mata dan telinga ini digunakan sepenuhnya untuk memerhatikan kesukaran kehidupan dan mendengar keluhan tentang kehidupan mereka.

inno4c 460 inno4c 539 

 

 Berdasarkan pengalaman dalam dunia industri, banyak kelemahan ditemui bersama-sama ruang kepada kaedah yang berpotensi untuk diperbaiki. Namun, misi kali ini bukanlah untuk universiti membuat sebarang perubahan berlandaskan kepada acuan akademik tetapi ianya perlu diubah mengikut keperluan atau permintaan masyarakat (demand-driven). Di sinilah cabaran komunikasi dan konsultansi perlu diatasi untuk memastikan hasrat mereka dipenuhi, tanpa menggunakan penyelesaian yang kompleks dan sukar difahami.

Tinjauan juga telah dibuat di beberapa Kawasan di Sabah untuk mengenalpasti potensi aktiviti ekonomi komuniti setempat yang boleh dinaik taraf keupayaannya. Beberapa penempatan kaum Kadazan penanam lada di Kampong Lompios, Kota Belud dan Kampong Puhus, Tamparuli telah dilawati. Kampung Tinura, Tenom, Keningau juga dilawati untuk melihat masalah seni anyaman Ambatu Kelarai yang tinggi permintaannya di pasaran tapi terhad dari segi pengeluarannya. Perkampungan nelayan di Kampung Laut, Papar, Sabah juga dilawati demi membantu mereka dalam pengeluaran belacan yang lebih berkualiti.

 inno4c 536 inno4c 460

Dalam mencari penyelesaian untuk menaik taraf kehidupan masyarakat, pendekatan berdasarkan kepada matlamat pembangunan lestari/mampan telah digunakan seperti rumah pengeringan solar dan rekabentuk berasaskan konsep Karakuri Kaizen. Tujuan utama inovasi ini adalah untuk meminimumkan penggunaan tenaga elektrik, daya dan sebolehnya memanfaatkan sumber tenaga semulajadi seperti solar dan graviti.

Sistem pengeringan lada putih yang bersih, kalis hujan, masa pengeringan lebih singkat dan mudah dikendalikan juga telah dilaksanakan. Ianya merupakan satu sistem rumah pengeringan menggunakan tenaga solar di mana kepingan polycarbonate lutsinar telah digunakan sebagai dinding dan bumbung bagi memerangkap haba disiang hari. Ia turut dilengkapi dengan sistem rel dan trey bagi memudahkan pengendaliannya. Empat lokasi telah dipilih untuk pembinaan system ini iaitu di Kampung Stass, Bau; Kampung Karu dan Garung, Padawan serta Rumah Panjang Melabu Bair, Betong.

inno4c 564 inno4c 521

Untuk mewujudkan satu proses pengeluaran lada putih yang lebih bersih dan lebih cepat, sistem berkuasa elektrik telah dibangunkan di mana pericarp luar biji lada dikupas dengan menggunakan tindakbalas larutan enzim pectinase. Proses retting enzim ini mengambil masa lebih kurang 24 jam, menghasilkan lada putih yang lebih bersih.

Sistem untuk melerai biji lada dari tangkainya dengan lebih mudah pula merupakan satu sistem berkuasa elektrik untuk memutarkan bilah Auger bagi proses pengasingan telah dibangunkan. Sistem in juga beroperasi dengan kebisingan yang rendah berbanding sistem yang ada dipasaran.

Selain itu, terdapat satu lagi sistem baharu dilaksanakan iaitu sistem untuk memudahkan proses penyediaan anyaman kelarai. Dua sistem dibangunkan mesin menghasilkan jalur buluh yang nipis dari bilah buluh yang tebal dan mesin membelah jalur untuk spesikasi kelebaran yang berbeza.

drKhairudin